KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjur tumbuh lebih sederhana pada 4.0 peratus tahun ini yang menyaksikan perbelanjaan sektor swasta dijangka menjadi pemacu utama dalam persekitaraan permintaan luar yang perlahan, kata Bank Dunia.
Penggunaan swasta pula dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan namun masih kukuh iaitu 6.7 peratus pada 2023, disokong oleh peningkatan berterusan keadaan pasaran buruh yang lebih baik serta bantuan pendapatan isi rumah daripada kerajaan.
“Pembentukan modal tetap kasar (PMTK) diunjur meningkat 4.2 peratus pada 2023 (anggaran 2022: 5.3 peratus) yang memaparkan aliran pelaburan modal berterusan dalam sektor swasta serta awam,” kata Bank Dunia dalam laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia terkini bertajuk ‘Memperluas Sempadan Digital Malaysia’ yang dikeluarkan hari ini.
Laporan itu berkata, perbelanjaan modal sektor swasta akan terus dipacu oleh pelaburan berterusan serta baharu selama beberapa tahun dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan yang berintensifkan teknologi.
“Perbelanjaan modal oleh kerajaan pula dijangka menumpukan terutamanya dalam penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan awam termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Transit Aliran Massa (MRT) 3, Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS Link), Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road dan Lebuh Raya Trans Borneo,” katanya.
Selain itu, susulan persekitaran global yang kurang menyokong, Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan perdagangan akan menyederhana pada 2023 dengan prospek pertumbuhan eksport Malaysia lebih perlahan kepada 2.2 peratus tahun ini yang seiring dengan unjuran pertumbuhan global dan momentum perdagangan antarabangsa yang perlahan.
Pada masa sama, pertumbuhan import juga dijangka menyederhana kepada 2.1 peratus pada 2023 (berbanding 15.3 peratus mengikut anggaran 2022) dan memaparkan pertumbuhan lebih perlahan di peringkat penggunaan, pertengahan serta barangan modal.
Di peringkat global, laporan berkenaan mengunjurkan pertumbuhan merosot ketara kepada 1.7 peratus bagi tahun ini daripada unjuran 2.9 peratus pada 2022 yang mencerminkan langkah memperketat dasar, keadaan kewangan yang kian buruk serta impak berterusan daripada konflik Rusia-Ukraine.
“Bagi negara atau ekonomi lebih maju, pertumbuhannya juga dijangka menyederhana kepada 0.5 peratus (anggaran 2022: 2.5 peratus) ketika bank-bank pusat terus mengetatkan dasar monetari bagi membendung inflasi.
“Di rantau Asia Timur dan Pasifik misalnya, pertumbuhan diunjur mengukuh kepada 4.3 peratus pada 2023 (2022: 3.2 peratus) susulan langkah kelonggaran sekatan berkaitan pandemik yang meningkatkan aktiviti di China,” katanya.
Bank Dunia berkata kecuali China, pertumbuhan dijangka lebih sederhana kepada 4.7 peratus pada 2023-2024 berikutan pemulihan berterusan permintaan domestik dan pelancongan yang dapat mengimbangi penyusutan pertumbuhan eksport barangan. – Bernama