
LUBOK ANTU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu hari ini melaksanakan pemantauan di kawasan terjejas banjir, khususnya di sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Lidong, berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Pegawai APM Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata hasil tinjauan yang dijalankan pada 12.05 tengah hari mendapati paras air di kawasan tersebut mencatat bacaan 0.26 milimeter.
Keadaan itu katanya turut menunjukkan trend surut, sekali gus memberi petanda positif bahawa situasi banjir beransur pulih.
“Selain itu, jalan utama berhampiran SK Lidong disahkan boleh dilalui oleh kenderaan kecil dan besar, membolehkan penduduk setempat meneruskan urusan harian tanpa sebarang halangan besar.
“Situasi tersebut turut menambah keyakinan bahawa keadaan banjir berada dalam kawalan,” katanya.
Desem berkata pemantauan yang dilakukan ini melibatkan kekuatan tiga anggota APM terdiri daripada Koperal Zulkaplie Abdullah, Prebet Rudi Merdan dan Prebet Claudius Jackson Budat.

Mereka turut dilengkapi dengan logistik antaranya sebuah ambulan pacuan empat roda, dua jaket keselamatan, kasut kalis air serta peralatan penyukat air.
“Ketua pasukan memaklumkan bahawa kawasan sekitar SK Lidong kini berada dalam keadaan selamat, terkawal dan tidak menimbulkan ancaman serius kepada penduduk.
“Walau bagaimanapun, pemantauan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan sentiasa terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, Desem menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan perubahan cuaca, khususnya berikutan ramalan hujan yang masih berlaku di beberapa kawasan. Penduduk juga digesa tidak mengambil risiko melintasi kawasan berair deras.
APM turut mengingatkan orang ramai mendapatkan maklumat sahih mengenai keadaan cuaca dan paras air daripada sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), iHydro serta Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak.
Bagi menghadapi sebarang kemungkinan, penduduk boleh segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Lubok Antu di talian 083-584639 untuk mendapatkan bantuan segera.
Oleh Adi Safarman