
SIBU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek di sini mula beroperasi pada 2.30 petang tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sibu dalam satu kenyataan memaklumkan, pembukaan PPS itu adalah susulan situasi semasa banjir yang melibatkan beberapa kawasan sekitar bandar ini, khususnya kawasan Jerwit Sibu.
“PPS berkenaan dibuka bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk terlibat sentiasa terpelihara, selain memudahkan penyelarasan bantuan oleh agensi berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Sibu Mejar (PA) Mohd Reduan Aini bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan lawatan serta penilaian lapangan ke Kampung Jeriah yang terkesan akibat banjir.
Lawatan berkenaan bertujuan menilai tahap kenaikan air, keadaan keselamatan penduduk, kerosakan infrastruktur serta keperluan bantuan bagi tindakan susulan.
Hasil penilaian itu akan dijadikan rujukan bagi memperkukuh koordinasi antara agensi terlibat serta memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada penduduk terjejas.
Oleh Tarani Lanting