SEDAVI: Sepanyol bersiap sedia menghadapi jumlah korban yang lebih tinggi selepas 95 orang maut dalam banjir kilat yang menyebabkan lumpur di kawasan bandar, kereta dihanyutkan dan mendatangkan kerosakan kepada pengangkutan.
Pasukan penyelamat dijangka menemukan lebih banyak mayat susulan banjir paling dahsyat di negara Eropah itu dalam tempoh lebih 50 tahun.
Tiga hari diisytihar secara rasmi sebagai tempoh berkabung susulan bencana berkenaan.
Hujan lebat dan angin kencang melanda Sepanyol sejak awal minggu selepas ribut terbentuk di Laut Mediterranean.
Kuantiti hujan menyamai setahun dalam masa beberapa jam sahaja di beberapa kawasan.
Badan penyelaras perkhidmatan kecemasan di wilayah timur iaitu Valencia, mengumumkan kematian 92 orang, sambil menambah mayat masih lagi ditemukan dan dikenal pasti.
Dua orang maut di Castilla-La Mancha dan seorang lagi mangsa dilaporkan di Andalusia di selatan, kata pemimpin kedua-dua wilayah itu kepada wartawan.
Jumlah korban mungkin meningkat kerana ‘terdapat ramai orang hilang’, kata menteri kerajaan Angel Victor Torres kepada penyiar awam TVE.
Ketua wilayah Valencia, Carlos Mazon, memberitahu pemberita tidak ada lagi orang untuk diselamatkan menerusi bumbung atau teres melalui cara udara.
Katanya, perkhidmatan kecemasan melaksanakan 200 penyelamatan di darat dan 70 pemindahan udara, sepanjang hari.
Kereta bertimbun dan jalan dipenuhi lumpur di Sedavi, pinggir bandar pantai Mediterranean iaitu Valencia, daripada pemerhatian wartawan AFP.
Penduduk yang masih lagi terkejut cuba membersihkan kawasan yang kotor dan mengambil baldi bagi mengeluarkan air dari rumah mereka sepanjang malam, walaupun tiada air atau elektrik.
Menurut perkhidmatan cuaca Sepanyol AEMET, bandar Chiva di barat Valencia, merekodkan 491 millimeter (mm) hujan dalam masa lapan jam sahaja pada Selasa – hampir menyamai kadar hujan dalam tempoh setahun.
“Keseluruhan Sepanyol menangis dengan anda semua… kami tidak akan meninggalkan anda.
“Bencana itu tidak boleh dianggap berakhir dan kami akan menggunakan semua sumber yang ada selama yang diperlukan supaya kita boleh pulih daripada tragedi ini,” kata Perdana Menteri, Pedro Sanchez kepada mangsa dan keluarga mereka dalam ucapan di televisyen. – AFP