KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 rakyat Malaysia yang menuju ke Gunung Kailash di Tibet, China bagi melaksanakan upacara keagamaan masih gagal dihubungi dalam tempoh lebih 24 jam ekoran bencana banjir berhampiran sempadan Nepal-Tibet semalam, sekali gus menambah kebimbangan kalangan keluarga mereka.
R. Logadashini berkata empat ahli keluarganya — bapa, S. Raman, 59; ibu, M. Neelavany, 54; bapa saudara, S. Murukan, 60; dan ibu saudara, G. Padmahwathi, 58 — antara 17 rakyat Malaysia dalam kumpulan itu yang diuruskan oleh agensi pelancongan Fishtail Tours & Travels yang berpangkalan di Nepal.
Beliau berkata kumpulan itu tiba di Nepal pada 23 Ogos dan dijadual meneruskan perjalanan keagamaan sehingga 5 September ini.
“Perbualan secara langsung yang terakhir dengan kumpulan itu direkodkan kira-kira pada 8.18 pagi waktu Nepal semalam (pada 10.33 pagi waktu Malaysia), apabila mereka dilaporkan berada kira-kira dua kilometer dari Pusat Pemeriksaan Imigresen Nepal-Tibet.
“Selepas itu, semua hubungan dengan kumpulan itu terputus. Kami cuba menghubungi agensi pelancongan tersebut dan Kedutaan Malaysia tetapi setakat ini, kami masih belum menerima sebarang maklumat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata mesej terakhir menerusi aplikasi WhatsApp daripada keluarganya diterima kira-kira pada 8.40 pagi waktu Malaysia semalam.
Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan sebanyak 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu masih belum dapat dihubungi, dan pihaknya tidak menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai rakyat Malaysia yang terjejas setakat ini.
Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, agensi pelancongan serta pihak berkaitan yang lain bagi memastikan keselamatan dan mengesan keberadaan rakyat Malaysia terbabit.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengarahkan semua jabatan berkaitan supaya segera mengenal pasti dan menghubungi rakyat Malaysia yang terjejas, dengan misi diplomatik Malaysia di Kathmandu dan New Delhi digerakkan untuk membantu usaha itu.
Banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah Rasuwa dan Nuwakot di Nepal berpunca daripada hujan lebat serta runtuhan glasier di sepanjang laluan Sungai Bhote Koshi.
Bencana itu menyebabkan gangguan komunikasi manakala laluan utama yang menghubungkan kawasan terjejas dengan ibu negara, Kathmandu, juga terputus.
Keadaan sedemikian menyukarkan usaha menyelamat serta akses kepada mereka yang terjejas.
Laluan tersebut lazimnya digunakan oleh mereka yang melakukan perjalanan keagamaan di Gunung Kailash dan kalangan pendaki yang menuju ke kawasan Everest.
Sementara itu, satu lagi kumpulan yang diketuai pendaki Everest Malaysia, Datuk N. Mohanadas disahkan selamat di Tibet.
Mohanadas berkata kumpulannya yang terdiri daripada 56 orang, termasuk 39 rakyat Malaysia, empat rakyat Singapura dan tiga warga Kanada, tidak terjejas dan meneruskan perjalanan ibadah dengan selamat.
“Kami menyedari kejadian hujan lebat secara tiba-tiba, banjir kilat dan kalangan yang terjejas di sempadan Nepal-Tibet. Syukur, kumpulan kami dan laluan yang kami ambil tidak terjejas dan kami meneruskan perjalanan dengan selamat.
“Kami telah memulakan hari pertama daripada tiga hari perjalanan rohani di Gunung Kailash untuk melakukan kora (sirkumambulasi) Kailash,” katanya.
Sementara itu, K. Divyavarshini berkata bapanya, V. Krishnan, 74, adalah antara 26 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi selepas mereka terkandas di wilayah itu dalam perjalanan untuk upacara keagamaan di Gunung Kailash.
Beliau berkata bapanya berlepas pada 23 Ogos bersama-sama kumpulan yang diuruskan oleh sebuah agensi pelancongan, dan kali terakhir berhubung dengan kumpulan itu adalah pada malam Selasa.
“Pagi semalam, mereka berada di sempadan Tibet, tetapi kami tidak menerima sebarang perkembangan sejak itu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Divyavarshini berkata ahli keluarganya berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Kathmandu untuk melaporkan individu yang tidak dapat dihubungi serta memberikan butiran mengenai kumpulan pelancong masing-masing.
Pegawai kedutaan telah memberi jaminan kepada keluarga bahawa mereka sedang memantau situasi dan akan mengesahkan maklumat dengan pihak berkuasa berkaitan, katanya.
“Kami dimaklumkan infrastruktur asas, termasuk bekalan elektrik dan rangkaian komunikasi mudah alih, telah terputus sepenuhnya di kawasan terbabit sekali gus menjejaskan penduduk tempatan dan kalangan pengunjung.
“Kami menggesa keluarga pelancong lain yang tidak dapat dihubungi supaya segera membuat laporan kepada Wisma Putra bagi membantu usaha penyelarasan yang sedang dijalankan,” katanya. – Bernama





