
KUCHING: Situasi banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) di Sarawak menunjukkan trend peningkatan apabila 230 mangsa daripada 62 keluarga ditempatkan di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 6.00 pagi hari ini, menurut laporan terkini Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Empat PPS aktif ketika ini melibatkan daerah Kuching, Miri, Serian dan Samarahan, dengan pemindahan mangsa dilaksanakan susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan paras air sungai meningkat di kawasan rendah.
Di Daerah Siburan, PPS baharu telah diaktifkan awal pagi tadi selepas keadaan banjir semakin buruk di Kampung Turong.
Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Serian, seramai 95 mangsa daripada 30 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah pada 2.00 pagi tadi.

“Paras air masih didapati menaik berikutan hujan lebat dan pemantauan berterusan sedang dijalankan. Keadaan di PPS setakat ini dilaporkan terkawal.
“Daripada jumlah mangsa yang dipindahkan di PPS berkenaan, 52 lelaki dan 43 perempuan terjejas, termasuk 16 warga emas, 28 kanak-kanak, lima bayi serta seorang Orang Kurang Upaya (OKU),” menurut laporan awal APM.
Sementara itu, APM Kuching turut melaksanakan rondaan pemantauan banjir di beberapa kawasan berisiko termasuk Kampung Sinar Budi, Desa Wira, Taman Malihah, Kampung Sungai Bedaun, Kampung Sungai Batu dan Kampung Sungai Lumut.
Hasil rondaan mendapati kebanyakan jalan masih boleh dilalui walaupun paras air menunjukkan trend meningkat di beberapa lokasi.
Namun, rondaan terbaharu di Kampung Abang, Setimbau mendapati jalan masuk ke kawasan tersebut terputus dan tidak dapat dilalui akibat kenaikan paras air yang mendadak.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk sehingga 10 Januari ini melibatkan kawasan Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong.
Amaran tahap waspada turut dikeluarkan bagi beberapa bahagian lain di Sarawak termasuk Lundu, Lubok Antu, Saratok, Kabong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) terdekat.