
LAWAS: Hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di Lawas terjejas akibat banjir kilat.
Antara kawasan yang terjejas ialah laluan utama ke Lawas di Batu Empat, Jalan Trusan–Lawas, yang pada awalnya tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil.
Kejadian berlaku sekitar 8.00 malam tadi, dengan air turut melimpah ke Kampung Batu Tiga, Jalan Trusan–Lawas, sehingga paras setinggi kira-kira setengah meter.
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Lawas berada di lokasi bagi mengawal lalu lintas dan memastikan keselamatan kenderaan yang melalui laluan berkenaan.
Utusan Sarawak turut melakukan tinjauan di sekitar Sungai Lawas sekitar 9.30 malam tadi serta kawasan penempatan penduduk di Banting.
Taman Wins Park di Banting merupakan kawasan paling terjejas apabila aliran air hujan dari kawasan bukit di seberang jalan utama menuju ke Masjid Darul Ma’mur melimpah dan menenggelami kawasan tersebut hingga sedalam setengah meter.

Jalan di hujung kawasan Taman Wins Park masih boleh dilalui kenderaan, namun pemandu dinasihatkan memandu secara perlahan bagi mengelakkan gelombang air daripada kenderaan mereka menjejaskan kediaman penduduk yang digenangi banjir.
Seorang penduduk, Awang Asfia, yang tinggal di Taman Wins Park melahirkan kekecewaan kerana masalah saliran di kawasan tersebut masih gagal diselesaikan sejak sekian lama.
Beliau berharap agar ada pihak yang dapat bertolak ansur bagi membolehkan kerajaan membina sistem saliran yang lebih sempurna melalui sebahagian kecil tanah milik persendirian.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan aliran air dapat disalurkan dengan lebih baik sekali gus menyelesaikan masalah air bertakung di kawasan berkenaan setiap kali hujan lebat.
Isu parit yang cetek turut dikenal pasti sebagai punca jalan raya di kawasan Batu Tiga dan Batu Empat di Jalan Trusan–Lawas ditenggelami air pada malam tadi.
Hujan masih berterusan di Lawas pagi ini, dengan beberapa lagi kawasan rendah turut dinaiki air.
Utusan Sarawak akan terus menyalurkan laporan perkembangan banjir kilat di daerah Lawas dari semasa ke semasa.
Oleh Adeng Edrus