
NIAH: Walaupun banjir kilat di Rumah Aron, Sebatuk Niah surut sepenuhnya tengah hari tadi, seramai 57 keluarga melibatkan 256 penduduk masih memilih untuk berlindung sementara di Tadika SeDidik Sepupok berhampiran rumah panjang mereka.
Tuai Rumah Aron berkata, banjir kilat yang melanda malam tadi merupakan kejadian terbesar pernah dialami di kawasan itu.
“Kejadian malam tadi sangat laju, air deras dan dalam, serta berbahaya jika ada yang tersilap langkah dalam keadaan gelap.
“Saya merakamkan terima kasih kepada anggota Bomba Batu Niah yang bertindak cepat membantu menyelamatkan penduduk,” katanya ketika ditemui hari ini.
Para mangsa dipindahkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah sejurus kejadian berlaku.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, turut turun padang meninjau keadaan mangsa di Rumah Aron dan pusat pemindahan sementara di Tadika SeDidik Sepupok.
Difahamkan, para mangsa masih enggan pulang ke rumah kerana bimbang kemungkinan banjir kilat berulang pada malam nanti.
Antara kawasan banjir yang dilawati Datuk Rosey hari ini ialah Kampung Dagang, Masjid Tiris, Pintasan Tiris, Pejuang Kelulit, Saeh, Pekan Sepupok dan Rumah Aron Niah.
Oleh Adum Liu