

KUCHING: Keadaan banjir kilat di Kampung Bumbok, Jalan Kuching–Bau dilaporkan telah surut sepenuhnya dan berada dalam keadaan terkawal hasil rondaan pemantauan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijalankan malam ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, rondaan dilakukan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa pada 10.02 malam ini.


SEKITAR rondaan dan pemantauan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa di Kampung Bumbok, Jalan Kuching–Bau malam ini. Foto BBP Kota Sentosa
Seramai enam anggota dikerahkan dengan satu unit Rapid Response Vehicle (RRV) bagi memantau kawasan berisiko banjir di kampung berkenaan.
“Hasil pemantauan mendapati paras air telah surut sepenuhnya dan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
JBPM Sarawak akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin sepanjang tempoh MTL.