
BEKENU: Hujan berterusan sejak awal pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di Rumah Panjang Pakut di sini dilanda banjir kilat hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, PBT II Rary Binjie, berkata banjir kilat itu masih terkawal berdasarkan rondaan Markas Tempat Letak (MTL) pasukan bomba hari ini.
“Rondaan yang dijalankan pada 2.00 petang oleh anggota kita mendapati sebahagian jalan di kawasan tersebut dinaiki air sedalam sekitar dua inci, namun masih boleh dilalui oleh kenderaan kecil.
“Limpahan air itu berpunca daripada Sungai Bakas, Pakut yang merekodkan paras tertinggi sekitar 18 inci dan terendah empat inci. Bagaimanapun, trend paras air sungai menunjukkan penurunan, menandakan keadaan mulai pulih.


“Tiada permohonan bantuan pemindahan diterima setakat ini dan tiada pos perpindahan dibuka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Tuai Rumah (TR) Linggu Jilan memaklumkan terdapat 96 pintu melibatkan dua blok serta beberapa rumah individu yang terjejas dalam banjir kilat. Beliau mengesahkan paras air turut menurun dan penduduk berada dalam keadaan selamat.
Rary Binjie berkata, sebuah Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Tinggi yang terletak berdekatan rumah panjang tersebut turut berada dalam pemantauan pihak bomba.
“Sekolah itu mempunyai 19 kakitangan, 49 murid harian, serta empat penghuni yang tinggal di kawasan sekolah, namun setakat ini operasi berjalan seperti biasa.
“Pihak bomba menasihatkan penduduk untuk kekal berwaspada, memantau perubahan paras air dari semasa ke semasa dan segera berpindah sekiranya berlaku peningkatan mendadak,” tegasnya.
Oleh Adum Liu