
KUCHING: Beberapa kawasan yang sering dilanda banjir di bandar ini mengalami banjir kilat pagi tadi susulan hujan lebat berterusan, dengan Jalan Laksamana Cheng Ho serta kawasan perumahan di sekitarnya antara yang paling terjejas.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen, iaitu George Lam berkata kawasan tersebut hampir setiap kali dilanda banjir apabila hujan lebat dan menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran melaksanakan langkah mitigasi banjir yang lebih berkesan serta menaik taraf sistem saliran utama di kawasan berkenaan.
Menurutnya, Jalan Laksamana Cheng Ho dan kawasan perumahan berhampiran sering dinaiki air setiap kali hujan lebat, sekali gus menjejaskan kehidupan harian penduduk serta menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya di bandar ini.
“Pagi tadi beberapa kenderaan terperangkap dalam air banjir yang dalam dan mengalami kerosakan enjin kerana pemandu tidak dapat menganggarkan kedalaman air, sekali gus menyebabkan gangguan trafik yang serius,” katanya.
Lam berkata Jalan Laksamana Cheng Ho serta kawasan sekitar Kuching Buddhist Association kerap mengalami banjir kilat ketika hujan lebat kerana air hujan tidak dapat dialirkan dengan cepat.
“Antara punca utama ialah kekurangan penyelenggaraan berkala sistem saliran. Pagi tadi polis trafik terpaksa membersihkan saluran keluar yang tersumbat dengan sampah dan daun sebelum air hujan dapat mengalir dengan lebih lancar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran sedang melaksanakan beberapa projek di Kuching, kemajuan keseluruhan projek dilihat perlahan.
Menurutnya, terdapat beberapa kawasan yang sering dilanda banjir masih belum dimasukkan dalam projek naik taraf, manakala kerja mitigasi banjir di Sungai Maong Kiri yang bertujuan mengatasi banjir di Jalan Laksamana Cheng Ho masih belum dimulakan.
Lam berkata semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Disember 2023, Timbalan Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Awam, Michael Tiang Ming Tee, memaklumkan projek mitigasi banjir Sungai Maong Kiri bernilai RM120.5 juta bagi menangani banjir kilat di Jalan Laksamana Cheng Ho dan kawasan berhampiran dijangka bermula pada suku kedua 2025.


“Bagaimanapun projek tersebut masih belum ditender, sekali gus menunjukkan kelewatan dalam pelaksanaannya,” katanya.
Menurutnya, kelewatan menangani isu yang secara langsung menjejaskan kehidupan dan kebajikan rakyat menyebabkan penduduk terus berdepan masalah banjir setiap kali musim hujan.
“Projek mitigasi banjir ini sepatutnya sudah bermula, namun sehingga kini masih belum mencapai peringkat tender dan penduduk terus terpaksa menghadapi banjir kilat,” katanya.
Lam turut menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran supaya segera memaklumkan perkembangan terkini projek mitigasi banjir Sungai Maong Kiri.
“Pada masa sama, sementara projek tersebut masih belum bermula, jabatan berkenaan perlu melantik kontraktor bagi menjalankan penyelenggaraan berkala sistem saliran untuk meningkatkan keupayaan aliran air semasa hujan lebat,” katanya.
Oleh Connie Chieng