

SERIAN: Dua rumah di Kampung Gahat Mawang, Tebedu dekat sini dilaporkan dinaiki air susulan kejadian banjir kilat akibat limpahan air sungai petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO)Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.12 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya pasukan bomba di lokasi pada 5.58 petang, didapati banjir kilat telah berlaku sekitar 4.00 petang dan menyebabkan dua rumah dinaiki air setinggi kira-kira dua kaki di bahagian dapur.
“Pemantauan di sekitar kawasan terlibat mendapati air banjir telah surut sepenuhnya dan keadaan cuaca ketika itu masih hujan renyai-renyai.
“Keadaan banjir cepat surut dan tiada keperluan untuk melakukan operasi pemindahan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Oleh Shahrul Qaizat