

SELANGAU: Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan kawasan rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Selangau ditenggelami air.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Selangau, Lt. (PA) Luke Douglas Dongum berkata, pemantauan menggunakan bot telah dilakukan pada malam tadi dan mendapati beberapa kawasan rendah di sekolah berkenaan masih ditenggelami air.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan beberapa struktur bangunan sekolah terjejas, namun keadaan masih terkawal.
“Sekolah tidak beroperasi ketika ini kerana masih dalam tempoh cuti. Keadaan di lokasi pemantauan didapati terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semasa pemantauan dijalankan, cuaca berada dalam keadaan hujan renyai-renyai dengan trend paras air dilaporkan meningkat, dengan anggaran ketinggian air 0.91 hingga 1.83 meter di kawasan rendah sekolah.
Oleh Akun Giman