



PENDUDUK berdiri di hadapan sebuah bangunan yang dikelilingi air yang menenggelamkan jalan akibat banjir sungai Nil di kampung Wad Ramli, Sudan, di utara Khartoum pada 1 Oktober 2025 lepas. Foto AFP
JUBA: Hujan lebat mencetuskan banjir besar di Selatan Sudan, meragut 19 nyawa dan menjejaskan kira-kira 639,225 orang di 26 daerah melibatkan enam negeri, lapor Xinhua memetik agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan hampir 175,000 orang kini hilang tempat tinggal dan terpaksa berpindah ke kawasan tanah tinggi di 16 daerah.
“Risiko kesihatan semakin meningkat dengan bertambahnya kes malaria, jangkitan pernafasan dan cirit-birit,” menurut OCHA dalam laporan kemanusiaan terbarunya yang dikeluarkan di ibu negara, Juba.


PENDUDUK meredah air sambil menyelamatkan barang-barang akibat banjir sungai Nil di kampung Wad Ramli, Sudan, di utara Khartoum pada 1 Oktober 2025 lalu. Foto AFP
Agensi itu turut melaporkan sekurang-kurangnya 121 kemudahan kesihatan terjejas, dengan 144 kes patukan ular dan 3,391 kes kekurangan zat makanan direkodkan di 11 daerah.
Laporan itu dikeluarkan sehari selepas badan amal antarabangsa ‘Save the Children’ memberi amaran bahawa dianggarkan 1.4 juta penduduk di Selatan Sudan berdepan ancaman banjir tahun ini, dengan taburan hujan dijangka melebihi paras purata pada Oktober dan November.
Menurut badan amal itu, masyarakat sudah kehilangan tanah pertanian, sumber pendapatan, rumah serta akses kepada sekolah dan kemudahan kesihatan, dengan 379,000 orang dipaksa berpindah akibat kenaikan paras air.- Bernama-Xinhua