
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Sarawak menunjukkan perkembangan lebih baik apabila jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan, manakala di Sabah pula kekal tidak berubah setakat malam ini.
Di SARAWAK, hanya daerah Miri masih dilanda banjir dengan 105 mangsa berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, Subis berbanding 135 orang pagi tadi.
Sementara itu di SABAH, jumlah mangsa bencana itu melibatkan daerah Beaufort dan Tenom kekal sebanyak 1,224 orang sejak pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Beaufort merekodkan 661 mangsa, manakala di Tenom 563 orang.
Kesemua mangsa adalah penduduk dari 14 kampung, masing-masing sembilan kampung di Beaufort dan lima kampung di Tenom.
Sehingga kini, sebanyak lapan PPS dan satu pusat pemindahan kekal (PPK) beroperasi di kedua-dua daerah berkenaan.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi beberapa kawasan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung malam ini.
Hujan lebat dan ribut petir dijangka melanda beberapa daerah di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Miri (Beluru, Telang Usan, Miri dan Marudi) serta Limbang.
Cuaca sama juga diramal berlaku di Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Tawau), Sandakan (Telupid dan Beluran), Kudat serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Kawasan lain termasuk Larut, Matang dan Selama, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Batang Padang di Perak serta Sabak Bernam, Selangor.- Bernama