
KUCHING: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak menyatakan bahawa kejadian banjir masih melanda beberapa kawasan di Sarawak susulan hujan berterusan yang berlaku sejak akhir Disember lalu.
Setakat 7.00 pagi tadi, sebanyak lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih aktif melibatkan dua daerah terjejas, iaitu Kuching dan Lawas.
Jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat adalah seramai 943 orang daripada 243 Ketua Isi Rumah (KIR) yang kini ditempatkan di PPS berkenaan. Trend pemindahan mangsa pada masa ini menunjukkan penurunan berbanding hari sebelumnya.
Di Daerah Kuching, sebanyak tujuh PPS masih beroperasi dengan menempatkan seramai 918 orang mangsa daripada 238 KIR, manakala di Daerah Lawas, satu PPS masih aktif dengan seramai 25 orang mangsa daripada lima KIR.
Antara PPS yang masih beroperasi ialah Dewan Masyarakat Stapok, Dewan R. Piang Kampung Sinar Budi Baru, Dewan Surau Nurul Najihin Stapok, Dewan Serbaguna Taman Malihah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Sungai Tengah, SJKC Chung Hua Batu Kawa, Masjid Darul Istiqaiah di Kuching serta Dewan Masyarakat Trusan di Lawas.
APM Sarawak bersama agensi keselamatan dan penyelamat yang lain terus menjalankan pemantauan rapi terhadap situasi banjir di kawasan terjejas serta memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa sentiasa terpelihara.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan segera berpindah ke PPS yang disediakan sekiranya diarahkan berbuat demikian.
Sebarang perkembangan lanjut berkaitan situasi banjir di Sarawak akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.