
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Perak semakin pulih dengan jumlah mangsa di Hilir Perak menurun kepada 19 orang daripada lima keluarga, berbanding 83 mangsa daripada 23 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi iaitu Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak.
Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak yang menempatkan 14 mangsa daripada tiga keluarga ditutup sepenuhnya pada 3.00 petang tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan meramalkan cuaca hujan di daerah Hilir Perak, Kinta dan Kampar malam ini.
Sementara itu, di Sarawak, jumlah mangsa yang masih ditempatkan di tiga PPS di Miri tidak berubah pada 4.00 petang ini iaitu sebanyak 140 orang terdiri daripada 136 mangsa banjir dan empat mangsa tanah runtuh.
Sekretariat JPBN Sarawak memaklumkan 109 mangsa banjir berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Suai Niah manakala 23 lagi di SK Kampung Angus.
Selain itu, masing-masing empat mangsa banjir dan tanah runtuh ditempatkan di PPS Dewan Bulan Sabit Merah.
-Bernama