
WACANA minggu ini meneruskan perbincangan mengenai peristiwa banjir yang berlaku di Sarawak pada 1963.
Tumpuan perbincangan diberikan khusus kepada keadaan banjir di Kuching serta beberapa kawasan di sekitarnya.
Peristiwa ini merupakan antara bencana alam yang memberi kesan besar kepada kehidupan masyarakat setempat, khususnya dari segi keselamatan, penempatan dan aktiviti harian penduduk.
Hujan lebat yang mengakibatkan banjir di Sarawak berpunca daripada tiupan angin Monsun Timur Laut ke Laut China Selatan yang berlaku dari Oktober 1962 hingga Februari 1963.
Kesan yang paling ketara ialah peningkatan paras air di hampir seluruh negeri Sarawak. Ibu negeri Sarawak, iaitu Kuching, turut tidak terkecuali daripada dilanda fenomena air pasang tinggi ini.
Banjir
Kuching telah mengalami banjir besar bermula pada 29 Januari 1963 apabila berlakunya air pasang besar yang menyebabkan paras air di bandar tersebut meningkat dengan ketara.
Keadaan ini mengakibatkan jalan-jalan utama serta kawasan perumahan di bandar Kuching ditenggelami air, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk dan aktiviti harian di kawasan berkenaan.

Keadaan ini telah mengganggu sistem pengangkutan di bandar tersebut. Bagi mengatasi masalah banjir dan meneruskan aktiviti harian, penduduk menggunakan perkhidmatan bot bermotor dan perahu.
Paras air di Kampung Melayu, Kuching, direkodkan mencecah paras dada. Keadaan banjir tidak terkecuali menimpa premis kerajaan, di mana air menggenangi kawasan tersebut setinggi kira-kira empat kaki.
Begitu juga, gudang dan kedai-kedai di sepanjang tebing sungai turut terjejas teruk, mengakibatkan kerosakan terhadap stok tekstil dan bahan makanan yang disimpan di tingkat bawah premis-premis tersebut.
Kemusnahan
Beberapa kawasan sepanjang jalan dari Penrissen ke Simanggang telah terputus akibat banjir. Kawasan yang terjejas merangkumi jarak antara batu 3 hingga batu 24, manakala kawasan paling teruk terjejas ialah batu 29, antara Serian keSimanggang.
Kenaikan paras air di kawasan tersebut dilaporkan mencapai enam kaki, mengakibatkan kesulitan besar kepada penduduk dan pengguna jalan raya.
Selain di Kuching beberapa daerah berdekatan dengan bandar tersebut juga mengalami masalah banjir. Pada 28 Januari 1963, paras air telah naik ke tingkat satu di pekan Buso, Bau.

Pada tarikh yang sama di Batu Kitang, paras air meningkat sehingga dua kaki melepasi paras atas lantai rumah-rumah yang terletak di tebing sungai.
Keadaan lebih teruk berlaku di Kampung Rembus, Bau apabila rumah-rumah di kampung tersebut dihanyut air, dan hanya tiga sahaja rumah terselamat.
Sementara itu beberapa kampung di Batu Kitang dari Kampung Landeh ke Kampung Lidah Tanah secara puratanya satu hingga lima rumah dihanyut oleh banjir.
Keadaan di Seniawan pula menyaksikan 23 rumah orang Melayu dinaikkan paras air setinggi enam kaki. Dilaporkan terdapat kejadian seorang lelaki telah dihanyut oleh air.
Di Serian pula menyaksikan beberapa kawasan tanaman penduduk tempatan rosak. Kawasan penanaman padi basah yang rosak dianggarkan seluas 1,192 ekar.
Di Bau kerosakan utama pada kawasan penanaman lada iaitu seluas 60,135 ekar. Kesan daripada cuaca basah yang berpanjangan, membawa merebaknya penyakit reput akar (Foot Rot) ke tahap wabak dan dianggarkan kira-kira 60,000 pokok lada telah mati.
Kesan
Dari segi statistiknya, banjir yang melanda Kuching ini membawa kepada kesan ketara kepada penduduk dan harta benda mereka.
Seramai kira-kira 2,000 orang terkesan daripada banjir tersebut di Bahagian Pertama, manakala kerosakan harta benda seperti rumah kediaman juga agak tinggi.
Sebanyak 198 rumah dikenalpasti telah musnah, manakala sejumlah 56 rumah pula mengalami kerosakan. Kawasan pertanian turut mengalami kerosakan yang serius.
Kawasan penanaman padi basah misalnya rosak seluas 1,486 ekar di Bahagian Pertama. Bagi kawasan penanaman padi kering (bukit) pula kerosakan adalah seluas 628 ekar.
Tanaman komersial seperti lada hitam dan getah juga tidak terkecuali mengalami kerosakan. Tanaman lada paling banyak terkesan daripada masalah ini apabila kira-kira 130,000 ekar kawasan tanaman tersebut rosak. Lain-lain tanaman yang rosak adalah ladang kopi, pisang, limau dan kelapa.
Haiwan ternakan juga terkesan daripada banjir ini. Haiwan ternakan yang paling terjejas akibat banjir di Bahagian Pertama ini adalah ayam dan itik. Sebanyak kira-kira 7,176 ekor ayam dan itik telah musnah.
Selain haiwan ternakan ini, haiwan ternakan lain yang mengalami masalah sama adalah khinzir, lembu dan kambing. Ternakan ikan dalam kolam turut mengalami kerosakan apabila sebanyak 112 kolam ternakan ikan air tawar musnah.
Pemulihan
Kesan banjir di Bahagian Pertama telah membawa kepada keperluan usaha pemulihan yang menelan perbelanjaan besar.
Antara komponen pemulihan yang melibatkan kos tertinggi ialah pembaikan jalan raya, jambatan dan bangunan kerajaan. Jumlah perbelanjaan bagi ketiga-tiga komponen pemulihan ini dianggarkan sebanyak $111,935.
Selain itu, usaha pemulihan turut merangkumi pembaikan pengkalan, tembok penahan (retaining wall) dan sistem bekalan air.
Keseluruhan kerja pemulihan ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa dalam memulihkan infrastruktur asas dan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam kepada penduduk yang terjejas akibat bencana banjir.
Banjir yang berlaku di Bahagian Pertama pada 1963 jelas menunjukkan bagaimana bencana alam ini boleh memberi kesan besar terhadap pembangunan dan kehidupan masyarakat setempat.
Justeru, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan kesan banjir dapat dikurangkan dan tidak terus memberi impak negatif yang besar terhadap keselamatan penduduk serta harta benda mereka.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).