
SARIKEI: Banjir yang melanda kawasan Jambatan Durin baru-baru ini disifatkan sebagai kejadian luar jangka dan pertama kali berlaku di kawasan tersebut, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan kajian bagi mengenal pasti kos serta penyelesaian untuk memastikan kejadian seumpama tidak berulang.
“JKR kini sedang mengkaji kos dan saya telah mengarahkan mereka untuk tampil dengan penyelesaian, supaya sekiranya berlaku banjir lagi, isu sama tidak timbul semula.
“Dalam erti kata lain, mereka perlu menaikkan paras jalan raya di kawasan itu,” katanya kepada media ketika ditemui semasa lawatan tapak di persimpangan Jakar Pan Borneo, pagi tadi.
Pada masa sama, Uggah turut memohon maaf kepada pengguna jalan raya yang terjejas dan menegaskan bahawa kejadian itu sukar dijangka.
“Kita memohon maaf kepada orang awam atas apa yang berlaku. Tiada siapa menjangka banjir sebegitu akan berlaku,” katanya.
Mengulas keadaan semasa, beliau memaklumkan bahawa paras air Sungai Rajang kini berada pada tahap serius, mengakibatkan beberapa kawasan seperti Kapit, Song dan Kanowit turut dilanda banjir.
“Banjir di Batang Rajang kali ini agak serius berbanding kawasan lain. Kita lihat Kapit, Song, Kanowit pun terjejas,” tambahnya.
Setakat ini katanya, tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.
Beliau juga memaklumkan paras air di Kapit menunjukkan tanda-tanda surut.
“Tadi Residen Kapit telah memaklumkan kepada saya bahawa air di Kapit kini sudah mulai surut,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberi jaminan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Kapit dan Sibu sedang berusaha sedaya upaya bagi memastikan proses pemindahan mangsa banjir berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Kita cuba meminimumkan segala masalah yang dihadapi mangsa-mangsa banjir. Mereka sendiri pun tidak menyangka banjir ini berlaku,” katanya.
Oleh Earl Anek