
JAKARTA: Ribut tropika dan hujan monsun melanda Asia Tenggara dan Asia Selatan bulan ini, mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh. Di Indonesia, 961 orang dilaporkan maut dan 293 hilang di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, manakala lebih sejuta orang dipindahkan, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).
Wilayah terjejas mengalami kekurangan makanan dan tenaga perubatan, kata pihak berkuasa. Gabenor Aceh, Muzakir Manaf berkata, “Segala-galanya tidak mencukupi, terutamanya petugas perubatan, kami kekurangan doktor.”
Di Pidie Jaya, Aceh, empat ekor gajah dari pusat latihan tempatan digunakan untuk membersihkan runtuhan dan mengalihkan kenderaan yang tersekat, bagi membolehkan penduduk mengakses rumah mereka, menurut Ketua agensi pemuliharaan tempatan, Hadi Sofyan.
Hujan lebat dan tanah runtuh telah mencederakan sekurang-kurangnya 5,000 orang serta merosakkan infrastruktur termasuk sekolah dan hospital. Di Banda Aceh, barisan panjang terbentuk untuk mendapatkan air minuman dan bahan api, manakala harga komoditi asas seperti telur melonjak. Kos untuk membina semula dijangka mencapai RM14.57 bilion.

Di Sri Lanka, 627 orang maut akibat Siklon Ditwah, yang turut menjejaskan lebih dua juta penduduk hampir 10 peratus daripada populasi. Kerajaan menempatkan 38,500 anggota tentera bagi mempercepat usaha pemulihan dan pembersihan kawasan terjejas banjir serta tanah runtuh. Sejak bencana itu, 31,116 orang telah diselamatkan, menurut Ketua Tentera Lasantha Rodrigo.
Presiden Anura Kumara Dissanayake mengumumkan pakej pemulihan termasuk RM47,000 untuk membeli tanah di kawasan lebih selamat dan membina semula kediaman, serta bantuan sara hidup dan tunai untuk menggantikan peralatan dapur, peralatan tempat tidur dan membeli makanan. Kerajaan Sri Lanka memohon bantuan antarabangsa, termasuk daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), bagi membiayai pemulihan.
-AFP