
JAKARTA: Banjir kilat melanda dua pulau di Indonesia, termasuk destinasi pelancongan popular Bali, menyebabkan sekurang-kurang 13 maut dan enam lagi dilaporkan hilang, menurut agensi bencana negara ini, semalam.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari, berkata hujan lebat sejak kelmarin mengakibatkan banjir menenggelami lima daerah di Bali serta ibu kota wilayah itu, Denpasar, dengan hampir 200 orang terpaksa dipindahkan.
Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan setakat semalam, sembilan kematian direkodkan di Bali – meningkat berbanding dua korban pada awalnya, dan dua mangsa dilaporkan hilang.
Seramai 85 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Jembrana, barat daya Bali, manakala 108 lagi berlindung di lokasi lain termasuk sebuah sekolah rendah.

Selain itu, Abdul dalam satu kenyataan berasingan berkata, banjir kilat turut melanda Pulau Flores di wilayah Nusa Tenggara Timur pada Isnin lalu, menyebabkan akses jalan dan perkhidmatan telefon terputus di 18 perkampungan.
Ketua BNPB, Suharyanto, berkata banjir di daerah Nagekeo, Flores, meragut empat nyawa dengan empat lagi dilaporkan hilang.
Beliau berkata, sebahagian kawasan di Bali masih ditenggelami air, setakat semalam, walaupun banjir di Flores sudah mulai surut.
Musim tengkujuh tahunan di Indonesia, lazimnya antara November hingga April, sering mengakibatkan kejadian tanah runtuh, banjir kilat dan penyakit bawaan air.
Perubahan iklim turut menjejaskan pola ribut, termasuk dari segi tempoh dan keterukan musim monsun, sekali gus menyaksikan badai hujan lebih lebat, banjir kilat serta angin lebih kencang.
Pada Mac lalu, banjir dan tanah runtuh di Pulau Jawa meragut tiga nyawa serta menyebabkan lima lagi hilang selepas hujan lebat menenggelami puluhan pekan.
Pada Januari lalu pula, sekurang-kurang 25 maut apabila banjir dan tanah runtuh melanda sebuah bandar di Jawa Tengah. – AFP