
Hanoi, Vietnam: Jumlah kematian akibat banjir besar di Vietnam meningkat kepada 90 orang, manakala 12 orang lagi masih dilaporkan hilang, menurut Kementerian Alam Sekitar hari ini selepas beberapa hari hujan lebat dan tanah runtuh.
Lebih 60 daripada kematian sejak 16 November direkodkan di wilayah pergunungan tengah Dak Lak, di mana puluhan ribu rumah dilanda banjir, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Hujan yang berterusan telah melanda bahagian selatan-tengah Vietnam sejak akhir Oktober dan destinasi percutian popular turut terjejas akibat beberapa siri banjir.
Sekumpulan kawasan bandar ditenggelami air minggu lalu di pesisir pantai Nha Trang, manakala tanah runtuh yang berlaku di laluan tinggi sekitar pusat pelancongan Da Lat.

Beberapa lokasi di lebuh raya nasional masih terhalang hari ini akibat banjir atau tanah runtuh, menurut kementerian, dan sebahagian laluan kereta api masih digantung operasi.
Lebih 129,000 pelanggan masih tiada bekalan elektrik, selepas lebih sejuta rumah mengalami gangguan minggu lalu.
Kementerian Alam Sekitar hari ini menganggarkan kerugian ekonomi sebanyak AS$343 juta di lima wilayah akibat banjir. -AFP