
BEKENU: Pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bekenu telah dimohon bagi menjamin keselamatan penduduk yang terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan yang melanda beberapa kawasan di Daerah Subis.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni, berkata permohonan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, sebagai langkah awal bagi menghadapi kemungkinan keadaan banjir bertambah buruk.

Menurut beliau, sebarang situasi kecemasan boleh dilaporkan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Subis bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“APM Subis kini giat menjalankan pemantauan serta operasi menyelamatkan mangsa yang terperangkap akibat kejadian banjir susulan hujan berterusan sejak awal pagi tadi.
“Mereka turut berjaya membawa keluar seorang pesakit dari Kampung Dagang untuk dihantar ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak semasa memantau keadaan banjir di kawasan berkenaan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, keadaan cuaca di kawasan terlibat dilaporkan cerah setakat ini dan sebahagian penduduk telah berpindah ke Miri.
“Datuk Rosey yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak telah memohon agar PPS dibuka dan ketika ini pihak berkuasa masih menunggu tindakan lanjut daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana.
“Kawasan yang terjejas banjir setakat ini termasuk Kampung Tiris dan Hunai, manakala kejadian tanah runtuh di Danau telah berjaya ditangani,” jelasnya.

Antara kawasan lain yang turut terjejas ialah Kampung Rambai, Bekenu Asli, Dagang, Kelapa, Jengalas, Menjelin, Kampung Tengah, Kawang, Selanyau, Danau serta kampung-kampung di kawasan rendah.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, memantau perkembangan cuaca semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa, khususnya ketika musim hujan dan banjir.
Oleh Adum Liu