![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/01/IMG_9355-1024x768.jpeg)
Banjir melanda UPM Kampus Bintulu menyebabkan kesukaran bagi warga kampus.
BINTULU: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) kini berdepan cabaran besar apabila bekalan makanan terputus dan akses jalan keluar masuk ditutup akibat hujan lebat berterusan serta banjir yang melanda kawasan tersebut.
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPMKB dalam satu kenyataan mengingatkan semua mahasiswa dan warga kampus untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang terlibat.
“Kami memahami kesulitan yang dihadapi oleh mahasiswa dan warga kampus pada ketika ini.
“Kami juga menggesa semua untuk terus berhati-hati, saling membantu, dan mengikuti arahan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.
Setakat ini, keadaan masih dipantau dan langkah-langkah penyelesaian sedang diusahakan oleh pihak berkaitan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secepat mungkin.
Sementara itu, dalam usaha meringankan beban mangsa banjir, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) menerusi Tabung UPM Prihatin menyeru semua untuk menghulurkan bantuan melalui Bantuan Infak Banjir UPMKB.
Sumbangan yang diterima akan digunakan untuk menyediakan keperluan asas, makanan, dan sokongan lain bagi mangsa yang terjejas.
Sumbangan boleh disalurkan melalui imbasan Kod QR pada e-poster atau ke akaun CIMB 80-0215196-3 dengan rujukan ‘Infak Banjir UPMKB’.
Untuk sebarang bukti sumbangan, slip bank boleh dihantar melalui e-mel ke wazan@upm.edu.my atau WhatsApp ke wa.me/60397691816.