
BATU NIAH: Seramai 375 mangsa banjir dari dua rumah panjang di Sepupok, Batu Niah telah dipindahkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu operasi yang dijalankan tengah malam tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengah malam melibatkan banjir di Rumah Aron Skim dan Rumah Lumpoh, Niah.
Satu jentera utiliti jenis Hilux dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi dan tiba pada 12.42 pagi.


Setibanya di lokasi, air didapati naik dan menjejaskan dua rumah panjang tersebut. Pasukan bomba kemudian menjalankan pemindahan besar-besaran membabitkan semua penghuni yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Pecahan mangsa Rumah Lumpoh iaitu 27 keluarga (119 penduduk) dan Rumah Aron sebanyak 57 keluarga (256 penduduk).
Kesemua mangsa dipindahkan ke rumah saudara-mara terdekat dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Operasi yang diketuai PBK I Jeffery Majin itu dapat dikawal pada 5.23 pagi sebelum tamat sepenuhnya pada 6.21 pagi.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, dan paras air dilaporkan masih naik pada waktu operasi dijalankan.
Oleh Adum Liu