

ENGKILILI: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu menerima laporan banjir di dua kawasan hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel memberitahu, dua kawasan yang terjejas banjir merupakan Jalan Nanga Kumpang dan Bunu, Skrang.
“APM Lubok Antu telah menerima aduan berkenaan kawasan Jalan Nanga Kumpang dinaiki air sedalam 0.5 meter akibat hujan berterusan semalaman.
“Justeru, tiga anggota APM terus membuat pemantauan ke kawasan tersebut sekitar 9.00 pagi. Hasil dari pemantauan mendapati Jalan Nanga Kumpang tidak dapat dilalui mana-mana kenderaan kecil dan besar.
“Menurut penduduk yang ditemui berkata, pada sekitar 6.30 pagi, paras air naikĀ 0.50 meter (m) di Jalan Nanga Kumpang. Kawasan yang terjejas dinaiki air hanya melibatkan jalan raya utama berdekatan dengan sungai di Jambatan Kumpang dan terdapat alternatif lain yang dapat dilalui penduduk setempat.
“Beberapa rumah panjang yang terjejas seperti Rumah Danau, Rumah Kumpang dan Rumah Kandis,” katanya.
Bagi kejadian banjir di Bunu, Skrang paras air pada masa kejadian setinggi 0.31 m.
“Hasil pemantauan anggota APM mendapati Jalan Bunu, Skrang hanya dapat dilalui oleh kenderan besar sahaja. Menurut orang awam, pada 6.30 pagi air menaik 0.50 meter di jalan tersebut,” lapornya.
Anggota APM menasihati orang kampung supaya peka dengan keadaan sekeliling dan menghubungi APM Lubok Antu jika berlaku insiden tidak diingini berlaku.
“Walaupun paras air sungai di kedua-dua kawasan terjejas kini sudah semakin surut bermula petang ini, tetapi keadaan masih lagi di peringkat berjaga-jaga memandangkan cuaca masih hujan di sekitar daerah ini,” katanya.
OLEH ADI SAFARMAN