BINTULU: Di sebalik kesulitan akibat banjir, ada kanak-kanak yang seronok berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), malah enggan pulang ke rumah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, suasana di PPS dikawal selia dengan baik, termasuk penyediaan aktiviti khas untuk kanak-kanak bagi memastikan mereka tidak tertekan akibat bencana.
“Ada seorang budak tadi, dia kata tidak mahu balik sebab di sini ada ramai kawan, ada aktiviti.
“Hari ini mereka melukis, esok ada aktiviti lain pula,” katanya ketika meninjau keadaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Asyakirin, di sini, hari ini.
Fatimah berkata kesejahteraan kanak-kanak adalah antara keutamaan kerajaan, dan pihaknya akan memastikan persekitaran di PPS terus mesra kanak-kanak supaya mereka tidak mengalami trauma.
Selain itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya terus memantau kesihatan anak-anak mereka bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit di PPS.
“Kita ada pasukan perubatan yang sentiasa bertugas, jadi jika anak-anak ada tanda-tanda demam atau batuk, segera dapatkan rawatan,” katanya.
Fatimah turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan, yang menyumbang dalam memastikan kebajikan mangsa banjir terutamanya kanak-kanak terjaga.
Oleh Carolyne Utih