BANGKOK: Hujan lebat sejak 25 November lalu mengakibatkan banjir di kebanyakan wilayah di selatan Thailand sekali gus menjejaskan kira-kira 33,500 penduduk.
Wilayah Patthalung dan Songkhla paling teruk terjejas menyaksikan enam sekolah serta semua taman asuhan kanak-kanak di Songkhla terpaksa ditutup untuk memastikan keselamatan pelajar dan kanak-kanak.
Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi, Boontham Lertsukhikasem, berkata setakat hari ini, banjir masih melanda Phatthalung dan Songkhla serta Narathiwat, Nakhon Si Thammarat dan Surat Thani.
“Sebanyak 24,748 keluarga terjejas di Phatthalung. Namun, keadaan bertambah baik apabila paras air di daerah yang dilanda banjir semakin surut.
“Di Narathiwat, sebanyak 6,078 keluarga terjejas. Meskipun keadaan bertambah baik, tiga daerah di wilayah itu masih dinaiki air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di Songkhla, sejumlah 2,357 keluarga terjejas manakala di Nakhon Si Thammarat (250 keluarga) dan Surat Thani (60 keluarga).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat dijangka mula melanda Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Krabi, Trang, dan provinsi Satun, bermula semalam hingga hari ini.
Hujan lebat sekali-sekala diramal melanda Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Krabi, Trang dan Satun hari ini.
“Monsun timur laut yang kuat berlaku di Teluk Thailand dan di selatan, sementara keadaan tekanan rendah di Laut China Selatan akan mula bergerak ke pantai Malaysia.
“Hujan lebat kemungkinan akan berlaku di selatan. Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan berhati-hati kerana ia boleh menyebabkan banjir kilat,” katanya.
Dalam pada itu di Moscow, jumlah korban akibat konflik dalaman di Yaman telah melebihi 230,000 orang, lapor agensi berita Sputnik, memetik Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
“Konflik di Yaman telah meragut 233,000 nyawa. Jumlah yang mengejutkan ini tidak dapat diterima,” ciap OCHA di Twitter.
“Yaman dalam keadaan genting. Gencatan senjata diperlukan sekarang,” katanya.
Negara itu dicengkam konflik dalaman antara pasukan pemerintah dan gerakan Houthi selama lebih enam tahun. Gabungan yang dipimpin Arab Saudi telah melakukan kempen serangan udara terhadap pemberontak Houthi sejak 2015, atas permintaan Presiden Abdrabuh Mansour Hadi.
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah bersedia untuk mengisytiharkan gerakan Houthi sebagai pertubuhan pengganas, tetapi pegawai PBB meminta Washington untuk mempertimbangkannya semula, kerana bimbang langkah itu akan menyekat usaha kemanusiaan antarabangsa dan menggugat kemajuan menuju penyelesaian yang aman.
Krisis kemanusiaan di Yaman disifatkan yang terburuk di dunia.-Bernama