SARATOK: Sejumlah 147 orang penghuni dari 21 pintu Rumah Tembawai Kapok, Awik telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila rumah mereka ditenggelami air akibat banjir, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, anggota APM Saratok telah membuat pemantauan di rumah panjang tersebut dan mendapati kawasan rumah panjang itu telah dinaiki air sedalam 1.24 meter.
“Dengan itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Saratok telah mengisytharkan PPS Dewan Rumah Dayak, Saratok diaktifkan pada 3.30 petang untuk menempatkan mangsa banjir di Rumah Tembawai Kapok, Awik,” katanya.
Nur Athirah berkata, rumah panjang tersebut telah ditenggelami air, trend air menaik dan anggota APM Saratok menasihati penduduk rumah panjang tersebut supaya peka dengan keadaan banjir.
Kejadian banjir ini, katanya, berpunca daripada hujan berterusan sepanjang hari, mengakibatkan paras air di penempatan itu naik secara mendadak sehingga menenggelamkan kediaman penduduk.
“Kejadian banjir yang berlaku di penempatan rumah panjang tersebut telah mengakibatkan seramai 147 orang daripada 21 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS Dewan Sayak Saratok,” katanya.
Banjir di kawasan tersebut menurut Nur Athirah, turut menyebabkan kebanyakan laluan masuk ke rumah panjang berkenaan tidak boleh dilalui sebarang kenderaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, APM Saratok akan terus memantau situasi semasa dengan turun padang ke kawasan terjejas dan menasihati penduduk di kawasan yang berisiko banjir untuk peka akan arahan semasa daripada pihak berwajib.
Oleh Adi Safarman