KUALA LUMPUR: Sebuah pusat koleksi atau pusat pemprosesan yang strategik perlu dibangunkan di Selangau bagi memberi kemudahan kepada para petani dan pekebun memproses serta membungkus hasil pertanian mereka.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera mengenai permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di konstituensinya.
“Penduduk Selangau yang tinggal di luar bandar menghadapi masalah untuk memasarkan keluaran pertanian terutama buah-buahan dan sayur-sayuran.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar sebuah pusat koleksi atau pusat pemprosesan yang strategik dapat dibangunkan di sini bagi memberi kemudahan kepada para petani dan pekebun,” katanya ketika ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong dalam persidangan Dewan Rakyat.
Menurutnya, usaha tersebut dapat menjamin ketahanan sesuatu produk pertanian sekaligus mampu meningkatkan mutu untuk pasaran luar.
“Banyak manapun atau baik manapun hasil keluaran pertanian kita, jika tidak dapat dijual atau dipasarkan pun tiada gunanya.
“Mungkin sudah tiba masanya pihak bertanggungjawab sama ada di peringkat negeri atau wilayah membuat penyelidikan secara spesifik bagaimana untuk memanfaatkan sepenuhnya Lebuhraya Pan Borneo dalam membantu sektor pertanian dan pengeluaran makanan ini.
“Saranan ini adalah berikutan terlalu banyak yang disebut tentang peningkatan hasil pertanian dengan segala teknologi dan kepakaran yang terkini tetapi kurang diimbangi dengan ‘market sustainability’,” katanya.
Di samping itu, masalah kelewatan loji air di Sekuau dan Tatau juga ditekankan kerana ia amat menyulitkan sehingga wakil rakyat di kawasan terbabit terpaksa membekalkan air minuman botol kepada penduduk dengan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menghantar air dengan lori tangki air.
Perbahasan sama turut menyuarakan keperluan pendidikan dan latihan seperti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diperlukan di kawasannya memandangkan sehingga kini Selangau tidak mempunyai sebarang pusat latihan seumpamanya meskipun ramai anak-anak dari kawasan itu yang berpotensi untuk dilatih.
Mengulas mengenai keperluan, tambah Edwin lagi, isu ketiadaan bank menjadi keluhan utama penduduk di sekitar pekan Tatau.
Beliau memberitahu, penduduk terpaksa berurusan dengan perbankan di Bintulu yang terletak 60 kilometer dari pekan Tatau walaupun hanya untuk mengeluar atau menyimpan sejumlah RM20.
Justeru, ujarnya, sebuah cawangan bank tempatan sudah memadai untuk dibuka di Pekan Tatau.
Di kesempatan itu, beliau juga menyatakan harapannya agar kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan peruntukan kepada setiap wakil rakyat dengan mengambil kira keadaan dan saiz konstituensinya, selain hanya mengira jumlah penduduk.
Jelasnya lanjut, kawasan Selangau yang luas memerlukan kos pengangkutan dan logistik yang amat tinggi sehinggakan perbelanjaan untuk melawat kawasan sahaja cukup menekan.
“Maka bukanlah satu gurauan apabila saya menyatakan bahawa saya kadangkalanya perlu melalui denai berjalan kaki, kemudian menaiki bot dan seterusnya menaiki pacuan empat roda dan juga pesawat diikuti helikopter sebelum tiba di sesebuah rumah panjang atau penempatan di pedalaman Selangau.
“Tidak dinafikan juga ada sesetengah daripada kami dari Sabah dan Sarawak, perlu meredah bukit, merentasi sungai, menaiki pacuan empat roda melalui jalan balak dan menaiki helikopter untuk berkhidmat kepada konstituensi kami,” katanya lagi.