
BINTULU: Bangunan Tempat Transit Gelandangan (TTG) Bintulu kini siap sepenuhnya dan dijangka mula beroperasi pada Oktober ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menurut beliau, pembinaan bangunan baharu itu dibuat selepas bangunan lama didapati terlalu daif untuk dibaik pulih.
“Daripada baik pulih, kita terus bina baharu di mana bangunan lama diroboh dan digantikan dengan yang baharu.
“Sekarang kita dapat lihat bangunannya sangat cantik, dari segi reka bentuk dan warnanya memang menarik,” katanya.
Menurutnya, pembinaan TTG Bintulu berjalan mengikut jadual dan reka bentuknya dihasilkan oleh pihak Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
“Dari segi fizikal, bangunan ini telah siap tepat pada masanya.
“Selepas beberapa perkara teknikal diselesaikan, kita jangka ia akan mula beroperasi pada bulan Oktober tahun ini, begitu TTG di Miri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak TTG di Jalan Sibiyu di sini, hari ini.
TTG Bintulu merupakan fasiliti keempat seumpamanya di Sarawak selepas Kuching, Sibu dan Miri.
Fatimah berkata, bangunan itu bukan sekadar menyediakan tempat perlindungan sementara, sebaliknya berfungsi sebagai pusat intervensi menyeluruh untuk gelandangan.
“Proses intervensi dilakukan secara bersepadu merangkumi pemeriksaan kesihatan, sesi kaunseling, motivasi, konsultasi serta latihan kemahiran untuk menjana pendapatan.
“Selain itu, kita juga akan membuat profiling berdasarkan potensi individu dan memberi latihan agar mereka boleh keluar daripada tempat transit ini dengan lebih bersedia,” ujarnya.
Bangunan tersebut akan beroperasi sepenuhnya selepas proses penyediaan dalaman, penempatan peralatan dan pelantikan kakitangan selesai.
Oleh Carolyne Utih