
LIMBANG: Bangunan Persatuan Kedayan Limbang (PKL) bernilai RM25 juta akan mula dilaksana pembinaannya pada suku keempat tahun ini.
Menurut Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, projek ini kini dalam peringkat tender dan akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan.
“Projek ini telah diluluskan dengan nilai RM25 juta dan kini dalam proses tender. Ia dijangka bermula pada suku keempat tahun ini dan akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan,” katanya kepada media semasa lawatan kerja persiapan Program Makan Tahun Kedayan 2025 di Dewan Kampung Tuna/Gumaya/Benuas, semalam.
Bangunan tersebut akan dibina mengikut konsep moden dan canggih, serta dilengkapi dengan kemudahan terkini termasuk dewan serbaguna, pejabat, dataran dan ruang penganjuran majlis perkahwinan atau acara komuniti lain, dengan kapasiti antara 500 hingga 700 individu.
Tambah beliau, lokasi projek ini yang berhampiran Lebuh Raya Kawasan Utara menjadikan ia strategik dan mudah diakses.
“Bangunan ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada warga Kedayan untuk menjalankan aktiviti sosial dan ekonomi, malah turut terbuka kepada masyarakat pelbagai kaum dan agensi kerajaan lain,” katanya.
Selain menempatkan pejabat untuk PKL menjalankan aktiviti, ia juga akan dilengkapi dataran dan kemudahan lain untuk kemudahan penganjuran majlis perkahwinan dan sebagainya.
Oleh Adeng Edrus