

MUSNAH… Api kelihatan marak memusnahkan bangunan Pejabat Miri City Bus di depan Wisma Pelita Tunku malam tadi.
MIRI: Bangunan Pejabat Miri City Bus di hadapan Wisma Pelita Tunku, di sini, terbakar malam tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 11.51 malam.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Sentral Miri digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan pejabat Miri City Bus jenis separuh kekal satu tingkat yang mempunyai anggaran keluasan 40×80 kaki persegi.
“Kebakaran itu telah memusnahkan hampir 80 peratus keseluruhan bangunan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
“Pasukan bomba bertindak membuat pemadaman sehingga kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya 12.26 tengah malam,” katanya.
Operasi pemadaman turut dibantu pasukan bomba dari BBP Lopeng. Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling