LAWAS: Bangunan Mahad Tahfiz Darul Ma’mur bersebelahan masjid besar di sini dijangka siap akhir tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ia bakal menjadi pusat untuk melahirkan para qari dan qariah.
“Kita akan cuba uruskan dengan sebaik-baiknya Mahad Tahfiz ini. Pada masa sama sebuah pusat aktiviti keIslaman turut akan dibina di Kampung Dato Kuala Lawas.
“Ia akan menjadi pusat kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan untuk semua umat Islam di Lawas.
“Kita juga akan melaksanakan sebuah bangunan yang boleh digunakan untuk kegiatan agama, kelas-kelas agama bukan sahaja untuk kampung ini, tetapi untuk keseluruhan kawasan dan sekitarnya.
“Ini adalah salah satu daripada komponen projek yang akan dibangun untuk fasa kedua. Bangunan ini akan dilengkapi dengan bangunan asrama, jadi pelajar atau siapa saja terbuka kepada semua untuk menjalankan kegiatan keagamaan, kemasyarakatan kita buka kepada semua,” tambahnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penangguhan tilawah al-Quran peringkat Daerah Lawas di Tebingan Sungai Kampung Dato Kuala Lawas di sini malam tadi.
Mazlan Matzin dari zon Kuala Lawas muncul johan qari, manakala Suriyah Jinin johan qariah peringkat Daerah Lawas.
Hadir sama Pengarah Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA), Datu Ubaidillah Latip; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok dan Pengerusi Perkim Cawangan Lawas Dato Dayang Morliah Awang Daud yang juga isteri Awang Tengah.
Oleh ADENG EDRUS