

SPAOH: Sebuah bangunan lama yang dahulunya berfungsi sebagai Balai Polis Spaoh dilaporkan musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku di Pekan Spaoh, petang ini.
Premis jenis struktur separuh kekal tersebut kini digunakan sebagai tempat penyimpanan barangan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Spaoh dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 3.16 petang.
Susulan laporan tersebut, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan pacuan empat roda segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, Yusuf Tamin memaklumkan bahawa kebakaran melibatkan keluasan sekitar 60 x 36 kaki persegi.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba bertindak membentangkan satu aliran dua nozel sepanjang 100 kaki dengan sumber air yang diperolehi daripada pili bomba berdekatan, selain menggunakan satu aliran salur bantu mula untuk mengawal marakan api.
Ketua Balai, Badrulamin Mohd Fauzi selaku Komander Operasi Kanan turut memantau operasi pemadaman tersebut.
Walaupun bangunan yang sarat dengan barangan stor itu hangus 100 peratus, pihak bomba mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden berkenaan.
Pasukan bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak runtuhan bagi memastikan tiada lagi punca api atau sisa kebakaran yang boleh mencetuskan semula kebakaran.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.43 petang selepas keadaan dipastikan selamat.
Oleh Adi Safarman