Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Bangunan baharu SJKC Chung Hua Batu 11 dijangka siap Mac 2026
  • TEMPATAN

Bangunan baharu SJKC Chung Hua Batu 11 dijangka siap Mac 2026

Utusan Sarawak 12 hours ago
MENINJAU… Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman meninjau kemajuan projek pembinaan bangunan baharu SJKC Chung Hua Batu 11 Matang sempena lawatan kerja hari ini. Foto: Shikin Mahmud

PETRA JAYA: Projek pembinaan bangunan baharu SJKC Chung Hua Batu 11, Matang kini telah mencapai tahap siap antara 60 hingga 70 peratus, sejak majlis pecah tanah diadakan pada Oktober lalu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata jika mengikut jadual, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2026.

“Kalau ikut jadual, ia dijangka siap menjelang Mac 2026 dan sepertinya sangat cepat. Saya sendiri pun terkejut dengan kemajuannya. Semua pihak berganding bahu bersama kontraktor yang bagus, arkitek dan komuniti yang memberi kerjasama,” katanya ketika ditemui media ketika lawatan kerja ke tapak binaan serta sumbangan kerajaan Sarawak 2024 bagi sekolah jenis kebangaaan Cina di SJK Chung Hua Batu 11 Matang, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong pembangunan pendidikan pelbagai aliran, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Beliau mendedahkan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk sekolah menengah dan RM1.5 juta bagi sekolah rendah jenis Cina di Sarawak bagi 2024.

“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa percaya bahawa sekolah Cina adalah untuk semua kaum. Ini terbukti dalam jumlah semasa, iaitu 222 sekolah rendah di Sarawak dengan kira-kira 25,000 daripada keseluruhan 60,000 pelajarnya merupakan anak-anak Bumiputera,” katanya.

TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyerahkan sumbangan kerajaan Sarawak 2024 bagi sekolah jenis kebangaaan Cina di SJK Chung Hua Batu 11 Matang, hari ini. Foto: Shikin Mahmud

Tambah beliau, walaupun kos operasi sekolah Cina ditanggung Kerajaan Persekutuan, pembinaan infrastruktur seperti bangunan dan kemudahan asas masih dibiayai oleh lembaga pengurusan sekolah bersama pemimpin tempatan.

“Itulah sebabnya Yayasan Budaya Fizikal dan Alam Sekitar Sarawak (YBFAS) wujud untuk membantu dalam hal ini. Kita amat bersyukur kerana Premier Sarawak memberi peruntukan tambahan setiap tahun,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan bahawa pendidikan yang baik sejak peringkat awal adalah kunci kepada pembangunan bakat yang diperlukan Sarawak sebagai sebuah negeri yang maju dan makmur.

“Jika mahu masuk sekolah antarabangsa, mesti ada asas pendidikan rendah yang kukuh. Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, hanya Sarawak yang mempunyai sekolah antarabangsa yang 50 peratus pelajarnya datang daripada golongan B40 secara percuma,” jelasnya.

Menurutnya, kecekapan pelaksanaan projek pendidikan seperti ini turut membuktikan nilai gotong-royong dan semangat komuniti masyarakat Cina di Sarawak.

“Orang selalu tanya kenapa sekolah Cina kosnya murah. Sebenarnya bukan sekolah itu murah, tapi semua orang menyumbang tenaga. Kontraktor, arkitek landskap dan semuanya terlibat sebagai satu projek komuniti kerana kita percaya pendidikan adalah asas pembinaan negara bangsa,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa sekolah tersebut juga berperanan penting sebagai pusat mengundi kepada penduduk sekitar.

“Ini pusat mengundi kerana mereka datang ke sini nanti, mereka akan melihat sendiri. Dulu tiada tempat, kecil saja. Jadi dari situ kamu tahu siapa yang bekerja,” katanya berseloroh.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Paip utama rosak, LAK jalankan pembaikan segera
Next: Tun Wan Junaidi tunai solat Jumaat di Masjid Darul Hijrah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.