SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM20 juta untuk membina bangunan baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) di sebuah tapak seluas 5 ekar di sini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari berkata projek pembangunan itu bertujuan untuk meningkatkan sektor pertanian negeri ini yang kini menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi Sarawak.
Beliau berkata Sarawak yang memiliki masa depan dalam sektor pertanian, berikutan itu kerajaan penyediakan perbelanjaan negeri berjumlah RM700 juta setahun.
“Masa depan kita bermula tahun 2025 hingga 2030 adalah cerah khasnya dalam sektor pertanian,” katanya ketika menyempurnakan upacara Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Baru Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak di Samarahan semalam.
Beliau mengakui rakyat Sarawak khususnya masyarakat di luar bandar amat bergantung kepada sektor pertanian dalam menjana ekonomi setempat.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak optimis membangunkan infrastruktur sektor pertanian agar ia memberi rangsangan lebih positif kepada ekonomi negeri ini.
Mengakui Samarahan sebagai kawasan pembekal makanan (food basket), Abang Johari berkata pembinaan pejabat baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak amat tepat di lokasi berkenaan.
“Di Samarahan kita bina pejabat dan kita sambung ke jalan Samarahan yang kita ada jambatan terus ke hujung hingga Sebuyau.
“Kita (di Samarahan) mengeluarkan bahan makanan…apa yang kita keluarkan kelapa dan nanas semua kita tanam akhirnya kita dapat eksport makanan kita ke luar negara,” ujarnya.
Justeru itu, Abang Johari menegaskan hasrat PPNS harus memainkan peranan dengan baik untuk memajukan sektor tersebut.
“Pejabat baharu PPNS akan menjadi minda pertanian negeri ini maka ia harus dimanfaatkan dengan sebaiknya,” jelasnya dan meminta terus bekerjasama dengan kementerian berwajib untuk tujuan tersebut.
Tambahnya dari sudut pemasaran, Abang Johari memberitahu STATOS di Singapura sedia membantu dan seterusnya kerajaan Sarawak bercadang membuka pejabat dagangan di negara Brunei dan Kalimantan Indonesia selepas ini.
Oleh Diyana Samsuddin