KOTA SAMARAHAN: Pembinaan bangunan baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) yang dijangka siap pada 22 Mac 2022 akan menjadi pusat pertemuan antara PPNS, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan semua pihak berkaitan dengan bidang pertanian.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk, Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ia akan menjadi nadi kepada PPNS dan semua 28 PPK di seluruh negeri termasuk peniaga dan pembeli dari dalam dan luar negara.
Beliau yang juga Pengerusi PPNS menambah, bangunan baharu tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta terdapat ruang untuk galeri pameran, promosi dan penjualan produk peladang.
“Ia juga digunakan sebagai tempat latihan dan kemahiran terutama penggunaan ICT dalam pertanian selari dengan penekanan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari dalam ekonomi digital.
“Bangunan ini akan menjadi pemangkin bagi penglibatan PPNS dan PPK untuk membantu warga peladang terutama golongan belia menjadikan pertanian itu satu pernigaan dan kerjaya yang menguntungkan,” katanya sambil menambah bangunan tersebut menelan kos RM20 juta dan dibina di tapak tanah seluas tiga ekar.
Beliau berkata demikian pada upacara Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Baru PPNS bertempat di Kota Samarahan, semalam.
Tambahnya, PPNS dan PPK akan membuat penstrukturan semula hala tuju operasi dan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang agar selari dengan wawasan dan dasar kerajaan negeri.
“Jangan jadikan pertubuhan peladang sebagai medan propaganda untuk kepentingan politik semata-mata.
“Kami akan berusaha untuk merealisasikan semua nasihat dan pandangan Ketua Menteri dengan membuat perancangan lima tahun dengan melibatkan semua 28 PPK termasuk menggunakan pendekatan digital secara IOT dan pertanian pintar dan meneroka pasaran antarabangsa melalui pejabat STATOS di Singapura,” jelasnya.
Jelasnya, PPNS dan PPK akan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian dan badan-badan berkanun kerajaan persekutuan dan negeri untuk membantu secara terus para petani mengikut keupayaan dan kekuatan mereka.
“Pada peringkat permulaan ini kami memerlukan suntikan dana daripada kerajaan negeri untuk membantu dari segi kos operasi dan kos penstukturan semula perancangan lima tahun PPNS dan PPK dari 2021-2025.
“Adalah menjadi harapan kami juga, selain PPNS , semua PPK mempunyai bangunan pejabat sendiri dan aset-aset seperti kenderaan tertentu untuk memberi kemudahan kepada warga tani beranjak kepada pertanian cara baharu termasuk menggunakan pertanian pintar dan IOT serta pemasaran secara maya.
“Selepas tahun 2025 kami berharap PPNS dan PPK akan dapat menjana pendapatan yang mencukupi tanpa bergantung penuh kepada kerajaan dan akan menjadi salah satu pemain utama dalam sektor pertanian di Sarawak,” katanya lagi.
Oleh Zarina Abdullah