PETALING JAYA: Sektor koperasi diminta memberikan tumpuan dalam usaha pembangunan perisian aplikasi perkhidmatan untuk kegunaan pengguna, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata koperasi sewajarnya bersama-sama menjadi rakan strategik dengan menyertai pembangunan teknologi mengikut keperluan dan kesesuaian.
“Pembangunan aplikasi internet perlu bergerak seiring dengan pembangunan teknologi semasa dengan fokus untuk memudahkan orang ramai seperti urusan penghantaran dan penerimaan bungkusan.
“Saya pasti ruang yang ada boleh membawa pulangan yang baik kepada koperasi dan anggota kerana dengan semangat bekerjasama ini dapat memberi sinergi yang jitu dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis jalinan kerjasama sistem penghantaran dan penerimaan bungkusan secara aplikasi internet antara ASEAN Co-operative Organisation (ACO) Koperasi 1Malaysia Berhad dan Parcel365 Sdn Bhd di sini, semalam.
Zahidi berkata, gerakan koperasi negara yang dinaungi oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) telah banyak memajukan koperasi khas untuk membangunkan sosioekonomi ahlinya dengan menggunakan teknologi terkini.
Beliau berkata pengenalan perkhidmatan diberi nama Parcel365 itu dilihat cukup relevan kerana melibatkan perkembangan teknologi semasa yang sememangnya diberikan tumpuan oleh pihak kerajaan dan kini direalisasikan oleh gabungan kerjasama antara sektor koperasi dengan syarikat swasta.
Zahidi dalam ucapannya berkata berdasarkan laporan e-Conomy SEA 2020 yang diterbitkan oleh Google, Temasek, dan Bain & Company, terdapat peningkatan mendadak dalam kalangan pengguna Malaysia yang beralih kepada perkhidmatan digital.
Laporan itu menyatakan bahawa, seorang daripada tiga rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan digital buat pertama kalinya pada 2020.
Katanya kesan ketara daripada dapatan tersebut menunjukkan peningkatan tahap guna pakai teknologi digital yang tinggi dan pantas pada masa hadapan dan ini boleh diterjemahkan dalam potensi pertumbuhan yang memberangsangkan untuk sektor e-dagang, merangkumi rantaian penawaran dan permintaan. – Bernama