
Kilang itu akan mengeluarkan 13 jenis vaksin termasuk vaksin Covid.
DHAKA: Bangladesh akan membangunkan kemudahan pembuatan vaksin pertamanya dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pembekal global.
Penubuhan kilang itu susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Syarikat farmaseutikal milik kerajaan Essential Drugs Company Limited (EDCL) dengan Dyadic International yang berpangkalan di AS di Dhaka pada Rabu.
Kemudahan itu pada awalnya akan memberi tumpuan kepada pengeluaran vaksin Covid-19, lapor Agensi Anadolu.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga Zahid Maleque memberitahu media di pejabatnya bahawa Bank Pembangunan Asia (ADB) akan menyediakan pinjaman sebanyak AS$300 juta untuk mewujudkan kemudahan itu.
Kilang itu akan mengeluarkan 13 jenis vaksin termasuk vaksin Covid, tambahnya.
Dyadic International pula akan menyediakan bantuan teknikal, latihan dan sokongan yang diperlukan untuk menghasilkan, memelihara dan mengekalkan kualiti vaksin.
Maleque berharap inisiatif itu akan mengurangkan import vaksin dan vaksin yang dikeluarkan di kilang itu boleh dieksport.
Beliau berkata kemudahan itu akan menghasilkan vaksin secara terhad dalam tempoh dua tahun akan datang dan beroperasi penuh secara berperingkat empat tahun lagi.
Kilang itu akan dibangunkan di kawasan seluas kira-kira sembilan ekar (3.6 hektar) di daerah Gopalganj di bahagian selatan-tengah Bangladesh. – Bernama – Agensi Anadolu