NEW DELHI: Bangladesh telah memohon sokongan Malaysia untuk menyertai ASEAN.
Ketua kerajaan sementara Bangladesh Muhammad Yunus menyampaikan hasrat ini kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sana Haznah Md Hashim, ketika beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Yunus di Dhaka, semalam.
Haznah, yang akan meninggalkan Bangladesh pada akhir tempoh empat tahun tugasannya di sana, berkata beliau akan menyampaikan mesej Yunus mengenai keanggotaan ASEAN kepada pihak berkuasa Malaysia, menurut media rasmi Bangladesh.
“Bangladesh boleh menjadi jambatan antara ASEAN dan SAARC (Persatuan Kerjasama Serantau Asia Selatan),” kata Yunus.
Malaysia akan memegang jawatan pengerusi bergilir ASEAN pada 2025.
Ketua penasihat kerajaan sementara itu, yang kedudukannya setara dengan perdana menteri, menekankan hubungan erat antara Bangladesh dan Malaysia serta memohon kerjasama ekonomi yang lebih lanjut.
Syarikat-syarikat Malaysia telah melabur sebanyak AS$5 bilion di Bangladesh dan mereka berminat untuk melabur lebih banyak lagi, kata Haznah, menurut laporan Bangladesh Sangbad Sangstha.
Dalam pertemuan dengan Yunus, Haznah turut membangkitkan isu cukai yang dihadapi oleh Robi Axiata dan syarikat Malaysia lain, dengan menyatakan bahawa kira-kira 50 peratus daripada perolehan Robi dibayar sebagai cukai, menurut laporan itu.
Mohd Shuhada Othman akan menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baharu ke Bangladesh.
Beliau adalah antara tujuh wakil Malaysia yang menerima watikah pelantikan mereka, kelmarin. – Bernama