HAMPIR ‘tersungkur’ gara-gara terlalu percayakan orang, usahawan Wan Khairul Hakimin Wan Muhammad, 41, berjaya bangkit semula hanya dalam tempoh kira-kira tiga bulan, membuktikan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Pengeluar produk makanan itu nyaris ‘bungkus’ pada Disember 2021, namun pertemuan tidak diduga dengan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) Datuk Dr. Ameer Ali Mydin pada Januari lepas, mengubah nasib syarikat milik Wan Khairul Hakimin, KHM Foodies Sdn Bhd.
“Sebenarnya perniagaan ini sudah ada kekuatan tersendiri, namun kami mahu juga ambil produk dari luar. Apa yang berlaku ialah kualiti produk tidak sama, dan pada suatu hari, produk biskut yang dibekalkan oleh orang luar ada bubuk. Bukan keluaran syarikat saya tapi mereka guna jenama kami dan kami tolong jual,” ceritanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Kongsinya, kejadian itu berlaku pada Oktober tahun lepas apabila kira-kira 1,000 balang biskut daripada syarikat yang berkenaan dikesan mempunyai bubuk, dan keadaan menjadi tidak terkawal apabila pembeli memuat naik tentang insiden tersebut ke media sosial.
“Akibatnya jualan merudum. Jenama kami hancur terus. Daripada jualan bernilai RM300,000 hingga RM500,000 sebulan, hendak dapat RM50,000 pun payah. Memang teruk keadaan pada masa itu apabila jualan tidak ada, ejen lari dan pekerja daripada 61 orang hanya tinggal 16 orang,” cerita usahawan yang berasal dari Mentakab, Pahang tersebut.
PERTEMUAN TIDAK TERDUGA
Di sebalik satu demi satu ujian yang datang, Wan Khairul Hakimin enggan mengaku kalah dan berusaha mencari jalan keluar bagi memantapkan semula perniagaan yang dimulakannya pada 2014 itu.
Pada Januari lepas, bapa kepada seorang cahaya mata itu menghadiri satu program padanan perniagaan yang turut menyaksikan beliau bertemu Pengarah Urusan Mydin berkenaan.
“Asalnya Datuk (Ameer) hendak berjumpa orang lain dan kebetulan saya ada semeja ketika itu. Selepas mengetahui syarikat saya mengeluarkan produk biskut, beliau menyuruh saya membawa sampel biskut ke pejabatnya keesokan hari.
“Saya bawa 13 sampel dan alhamdulillah, selepas merasa sampel biskut tersebut beliau bersetuju dan memilih lapan jenis biskut. Datuk Ameer minta pihak kami sediakan 60,000 balang untuk dipasarkan di semua pasar raya Mydin,” katanya, menambah biskut jenama ‘Syafinie’ itu mula dipasarkan di 46 cawangan Mydin pada Mac lepas.
Jelasnya, biskut terbabit yang dijual pada harga mampu milik iaitu RM12.90 sebalang, mendapat sambutan luar biasa, malah menjadi pilihan pelanggan menjelang sambutan Aidilfitri.
Menurut Wan Khairul Hakimin, antara biskut keluaran KHM Foodies yang dijual di Mydin ialah biskut cornflakes, oriyo, German cookies, almond london, tart nanas kopiah, biskut nestum chocolate chips dan biskut thumbprint strawberry.
KEMBALI GAH
Wan Khairul Hakimin turut menjual biskutnya menerusi ejen serta terus dari kilang menggunakan jenama “one cookies” dan menurutnya, jenis biskut yang dijual oleh ejen tidak sama dengan di pasar raya bagi mengelakkan pertembungan pembelian.
Mengimbas pembabitannya dalam bidang perniagaan produk makanan itu, Wan Khairul Hakimin berkata beliau sudah terbiasa membantu ibunya yang berniaga nasi lemak dan kuih-muih sejak kecil lagi.
Namun, beliau yang sebelum itu bekerja di sebuah kilang pengeluar bahagian kenderaan, memulakan perniagaan sendiri pada 2014.
Menurutnya, beliau memutuskan untuk membuka kilang tersebut bagi pengeluaran besar-besaran selepas melihat prestasi perniagaan yang memberangsangkan selain maklum balas ejen.
BANTU LEPASAN SPM, IBU TUNGGAL
Biarpun perniagaannya kini hanya dikendalikan bersama 16 pekerja, Wan Khairul Hakimin yang mendapat sokongan penuh isteri Nurul Huda Abdul Wahab, 40, bersyukur kerana mempunyai 124 pekerja sambilan, kebanyakannya adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mencari pendapatan sampingan.
Selain itu, perniagaannya juga dibantu oleh kira-kira 21,000 ejen di seluruh negara yang sebahagian besarnya adalah ibu tunggal.
“Alhamdulillah, dengan kesetiaan dan semangat yang ditunjukkan mereka saya dapat mencapai kejayaan ini,” ujarnya.
Selain biskut, KHM Foodies turut mengeluarkan rendang daging tradisional dan daging dendeng serta produk kopi jalanan ‘Kopi Meta’ yang mempunyai 16 cawangan di seluruh Malaysia. – Bernama