TRISO: Bangkai ikan paus yang tular di perairan Sungai Batang Lupar dekat Kampung Pulau Seduku-Kampung Bakong baru-baru ini, telah dilaporkan ditemui semula di kawasan Feri Sungai Triso, dekat Jambatan Batang Lupar, hari ini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Nazari Haron, pihaknya menerima panggilan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak sekitar 1.10 tengah hari tadi mengenai penemuan bangkai mamalia itu.
“Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian iaitu di kawasan Feri Triso, tiada penemuan bangkai ikan paus seperti yang dilaporkan.
“Hasil taklimat bersama Pegawai Daerah Lingga, Pegawai Daerah Sebuyau, pihak PDRM, muzium serta Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), sekiranya ada maklumat penemuan bangkai ikan paus pihak yang berkenaan akan memaklumkan kepada pihak bomba yang berdekatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Nazari berkata operasi tersebut telah ditangguhkan pada 3.04 petang sehingga menemui petunjuk baharu.
Sementara itu, satu perkongsian video berdurasi 13 saat mengenai penemuan semula bangkai ikan paus itu di kawasan Feri Sungai Triso, semalam.
Selasa lalu, seekor bangkai dipercayai ikan paus dijumpai terapung di perairan Sungai Batang Lupar dekat Kampung Pulau Seduku-Kampung Bakong.
Penemuan bangkai paus itu menjadi tular apabila video berdurasi 49 saat dimuat naik media sosial Facebook Utusan Sarawak. Video berkenaan mendapat lebih 1,100 kali perkongsian, 3,500 like dan 176 komen.
Mamalia itu pertama kali dijumpa di perairan Batang Lupar, dipercayai tersesat sebelum dibawa arus semasa air pasang besar sebelum memasuki perairan Sungai Batang Lupar.
Oleh Adi Safarman