MIRI: Penemuan bangkai seekor burung Enggang Kelingking di kawasan semak di Jalan Baram di sini yang tular di media sosial mencetuskan perhatian susulan peningkatan populasi spesies ikonik itu di sekitar bandar raya ini.
Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), menerusi kenyataan di Facebook, memaklumkan bahawa pasukannya telah mengambil bangkai burung berkenaan sebelum membawanya ke Pejabat Wilayah Miri untuk pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian.
Menurut SFC, Enggang Kelingking atau nama saintifiknya Anthracoceros albirostris, turut dikenali sebagai Enggang Belulang Timur (Oriental Pied Hornbill – OPH) dan merupakan satu daripada lapan spesies enggang yang terdapat di Sarawak serta Borneo.
“Spesies itu cukup sinonim dengan Miri, khususnya kawasan Piasau, berikutan kepentingan serta hubungannya dengan masyarakat setempat.
“Sejak Kem Piasau dikenal pasti sebagai kawasan bersarang Enggang Kelingking oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) seawal 2008 sehingga pewartaan Rizab Semula Jadi Piasau pada 2013, populasi burung berkenaan di Miri didapati terus meningkat setiap tahun.
“Taburan spesies itu kini turut meliputi kawasan yang lebih luas, termasuk dari Piasau hingga Kuala Baram,” menurut kenyataan itu.
SFC turut menasihatkan penduduk setempat dan pengguna jalan raya, terutama di kawasan yang mempunyai populasi Enggang Kelingking, supaya lebih berhati-hati serta memperlahankan kenderaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Di peringkat global, Enggang Kelingking disenaraikan oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) dalam kategori Risiko Rendah (Least Concern), yang bermaksud spesies berkenaan tidak dikategorikan sebagai terancam pada masa ini.
Bagaimanapun, kehilangan habitat, kemusnahan pokok sarang dan perubahan guna tanah masih menjadi antara ancaman yang boleh memberi tekanan terhadap populasi tempatan.
Di Sarawak, spesies berkenaan merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998. Usaha perlindungan melibatkan penguatkuasaan undang-undang, pemantauan populasi serta pemeliharaan habitat.
Selain di Sarawak, populasi Enggang Kelingking turut direkodkan di Seria, Brunei, terutama di kawasan yang masih mempunyai pokok hutan dan kawasan hijau.
Kedudukan Sarawak dan Brunei dalam landskap hutan tropika Borneo yang saling berkaitan membolehkan spesies berkenaan bergerak serta menggunakan habitat merentasi sempadan pentadbiran.
Oleh Liong Chai Ling





