KUCHING: Pengerusi Lembaga Pengarah Restoran Hoi Tin Lau Sdn Bhd, ABS Goh Ah Seng mendapat Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Perkhidmatan Penyediaan dan Pembuatan Makanan dari Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia Malaysia pada 2020.
Goh berkata, tujuan beliau mendapatkan diploma berkenaan adalah untuk mendalami pengetahuan tentang masakan Cina.
Diploma berkenaan merupakan kebanggaan buat beliau yang mana pengalaman dalam masakan Cina dapat diperluaskan dan dikongsi bersama dengan seluruh rakyat Malaysia.
Antara perkara yang mendorong beliau untuk memperolehi diploma tersebut ialah kerana mendapati negara ini kurang memiliki sumber maklumat dalam masakan Cina yang cukup untuk masyarakat.
Beliau turut memaklumkan mengambil masa lebih daripada setahun untuk mendapatkan diploma berkenaan. Dalam masa sama, beliau turut mengimpikan untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda pada masa akan datang.
“Kalau mahu mendapat Ijazah Sarjana Muda perlu tahu mengenai cara mengurus restoran, cara penjualan, berapa kos, kebersihan dan lain-lain,” katanya ketika ditemu ramah di sini, baru-baru ini.
Selain itu, beliau juga mendapat tiga anugerah pada 2019 iaitu Pengerusi Kehormat Kecemerlangan Lima Bintang , Dr Gastronomi dan Duta Gourmet Antarabangsa Escoffier dari Escoffier Society International, Asia Pacific Grandchef Society.
Menurut Goh, Escoffier Society International, Asia Pacific Grandchef Society ditubuhkan pada 1936 dan sehingga kini masih kekal mencipta nama meskipun sudah 83 tahun penubuhannya.
“Ia seperti sebuah persatuan tukang masak yang menyediakan pelbagai jenis lauk untuk jamuan makan malam yang akan dihidangkan kepada para peniaga dan tetamu kehormat.
“Semua orang pun layak untuk merasai pelbagai hidangan yang dihidangkan oleh persatuan itu dan ada diantaranya adalah daripada golongan profesional seperti doktor, pegawai diplomatik dan tetamu kehormat negara,” kata Goh.
Setelah berkembang dari semasa ke semasa, ia secara tidak langsung membentuk sebuah persatuan antarabangsa.
“Sehingga kini ramai selebriti, ahli budaya dan seni, ahli politik, elit hotel serta yang lain turut mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan berkenaan,” jelasnya.
Ujar beliau lagi, kemahiran memasak yang baik memerlukan pakar mencuba dan menilai makanan untuk memberi inspirasi kepada tukang masak untuk terus berusaha dalam bidang tersebut.
Beliau juga berkata, Persatuan Escoffier Asia Pacific ini dilahirkan untuk membentuk sebuah persatuan masakan yang berpengaruh di dunia.
Beliau turut berkongsi pengalaman di mana Pengerusi Persatuan Escoffier Asia Pacific, Johnny Yuen telah membawanya ke China pada 2005 untuk merekrut ahli di salah sebuah hotel sehingga berjaya membentuk kepada penubuhan persatuan berkenaan.
“Negara China turut meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengiktiraf masakan timur,” kata Goh.
Oleh Cheryl Law