MIRI: Seorang banduan warga asing yang dijatuhi hukuman di sini dipindahkan ke negara asalnya, Brunei Darussalam, semalam.
Banduan sabitan itu layak untuk dipindahkan ke negara asal iaitu negara Brunei Darussalam melalui permohonan bertarikh 11 September 2023 –’Permohonan Program Pemindahan Antarabangsa Banduan Warganegara Brunei’.
Pemindahan ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 10 – ‘Waran bagi Pemindahan dari Malaysia’ – Akta 754, Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012 (Undang-Undang Malaysia) serta berdasarkan Triti Pemindahan Antarabangsa Banduan Antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Brunei Darussalam yang telah ditandatangani pada 3 Ogos 2023.
Pemindahan ini bertujuan membolehkan banduan yang layak menjalani baki hukuman di negara asal mereka, sekali gus memudahkan proses pemulihan dan integrasi sosial setelah mereka kembali ke masyarakat.
Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia, Ajidin Salleh menegaskan bahawa
pemindahan ini mencerminkan keprihatinan kedua-dua kerajaan dalam memastikan kebajikan banduan serta kepentingan sistem keadilan jenayah sentiasa diberi perhatian.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama erat antara Malaysia dan Brunei Darussalam dalam aspek ini perlu diteruskan bagi memastikan keberkesanan sistem pemindahan banduan di masa hadapan.
“Selain pemindahan banduan, saya yakin terdapat banyak lagi bentuk usahasama yang boleh diterokai antara Malaysia dan Brunei Darussalam, terutamanya dalam bidang pengurusan penjara, rehabilitasi banduan, serta program latihan dan pemulihan yang boleh memberi impak positif kepada sistem keadilan jenayah kedua-dua negara.
“Kerjasama dalam aspek pertukaran kepakaran, pembangunan modal insan, serta penggunaan teknologi moden dalam sistem pemantauan dan pemulihan banduan juga boleh dipertimbangkan demi memperkukuh sistem yang lebih berkesan dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Serah Terima Pemindahan Antarabangsa Banduan Malaysia ke Brunei yang berlangsung di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin Dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh di sini, semalam.
Ajidin berkata, majlis yang berlangsung hari ini (semalam) melambangkan keprihatinan serta komitmen teguh kedua-dua negara dalam memastikan keadilan dan kebajikan prospek yang terlibat sentiasa diberi perhatian.
“Pemindahan ini bukan sahaja memberi peluang kepada prospek untuk menjalani hukuman lebih dekat dengan keluarga mereka, tetapi juga membantu dalam proses pemulihan dan integrasi sosial mereka apabila kembali ke dalam masyarakat seterusnya berbakti kepada keluarga, komuniti dan negara,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pemindahan Banduan Antarababangsa, Jabatan Penjara Malaysia TKP Zulia Khamis @ Ahmad Kamil,Pengarah Penjara Negeri Teyun Thian Eim,Pemangku Pegawai Memerintah Penjara Maraburong Fasa 3, Pemangku Penguasa Penjara Hamdani Mohd Salleh, Ketua Unit Perundangan, Jabatan Penjara Malaysia Talhah Hasim.
Oleh Liong Chai Ling