
NAGOYA, Jepun: Sebuah bandar di Jepun tengah hari ini akan cuba meluluskan satu ordinan yang mengesyorkan penduduk mengehadkan penggunaan telefon pintar kepada dua jam sehari di luar waktu kerja dan sekolah, ekoran kebimbangan terhadap kesan pendedahan teknologi yang berlebihan.
Menurut Bandar Toyoake di Wilayah Aichi, peraturan itu sekiranya diluluskan, akan menjadi yang pertama seumpamanya di Jepun yang menetapkan had penggunaan untuk telefon pintar dan peranti elektronik lain.
Ordinan itu dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Okt, tertakluk kepada kelulusan dewan perbandaran tempatan, lapor agensi berita Kyodo.
“Kami mahu ordinan ini menjadi satu peluang untuk orang ramai memikirkan cara mereka menggunakan telefon pintar,” kata seorang pegawai bandar.
Draf itu menggesa pelajar sekolah rendah agar tidak menggunakan telefon pintar selepas 9.00 malam, manakala pelajar sekolah menengah rendah dan lebih dewasa harus berhenti pada 10.00 malam bagi memastikan waktu tidur yang mencukupi.
Sekalipun mengakui yang telefon pintar, komputer peribadi dan tablet adalah keperluan harian, bandar itu memberi amaran penggunaan media sosial dan penstriman video secara berlebihan boleh menjejaskan kesihatan dan kehidupan keluarga.
Pihak bandar akan bekerjasama dengan sekolah dan ibu bapa untuk menggalakkan penggunaan peranti elektronik secara sihat.
-Bernama