
MIRI: Pembangunan bandar pintar di Sarawak tidak boleh hanya tertumpu kepada penggunaan teknologi canggih, sebaliknya mesti bergerak seiring dengan agenda rendah karbon, tenaga boleh diperbaharui dan tadbir urus digital yang cekap.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, teknologi perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, memperkukuh komuniti serta mewujudkan persekitaran bandar yang bersih, selesa dan mampan.
Menurut beliau, semasa beliau memperkenalkan ekonomi digital termasuk pembayaran tanpa tunai, ramai yang skeptikal terhadap perubahan dan pembangunan yang sedang dilaksanakan kerana belum memahami sepenuhnya hala tuju Sarawak dalam aspek teknologi, pendigitalan, bandar pintar dan agenda rendah karbon.
“Bandar pintar yang sebenar ialah bandar yang menggunakan teknologi untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat, memperkukuh komuniti dan menjadikan penyampaian perkhidmatan lebih cekap.
“Kita tidak mahu sebuah bandar yang pintar dari segi teknologi tetapi gagal menjaga alam sekitar.
“Apabila pelancong datang ke Miri, mereka mahu menikmati suasana yang indah, selesa dan nyaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada satu majlis perasmian Pusat Kawalan Bandar Pintar Miri (MSCCC) Majlis Bandaraya Miri di sini hari ini.
Dengan penubuhan MSCCC, Miri melakar satu lagi pencapaian dalam agenda transformasi digital apabila menjadi bandar pertama di Sarawak memiliki pusat kawalan bandar pintar bersepadu berasaskan model Pusat Operasi Bersepadu Pintar (SIOC).
Penubuhan MSCCC bernilai RM8 juta itu menjadi platform penting dalam memperkukuh keupayaan bandar raya ini memantau operasi bandar secara masa nyata, selain meningkatkan keberkesanan pengurusan kecemasan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Melalui pusat berkenaan, maklumat dan data daripada pelbagai sistem dapat disepadukan bagi membolehkan pemantauan situasi, analisis data serta tindakan susulan dilaksanakan dengan lebih pantas dan teratur.
Penubuhan MSCCC turut mencerminkan usaha berterusan untuk menjadikan Miri sebuah bandar yang bukan sahaja maju dari segi teknologi, tetapi lebih selamat, cekap dan responsif terhadap keperluan penduduk.
Inisiatif itu selaras dengan aspirasi Sarawak untuk memperluas pembangunan bandar pintar dan rendah karbon dengan memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih mampan.
Abang Johari berharap Miri mampu menjadi model bandar pintar rendah karbon sebelum pendekatan sama diperluaskan ke bandar-bandar lain di seluruh Sarawak.
“Kita mahu Sarawak menjadi negeri contoh dalam pembangunan bandar pintar rendah karbon, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling