LAWAS: Bandar Lawas kini sentiasa dibanjiri kenderaan dari negara jiran Brunei Darussalam sejak pembukaan sempadan di Mengkalab.
Purata sejumlah 800 kenderaan negara jiran berbaris panjang di pintu sempadan Mengkalab untuk memasuki Lawas sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu.
Keadaan itu juga disedari Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan tetapi mahu penduduk tempatan mengambil peluang kehadiran masyarakat Brunei untuk meningkatkan pergerakan ekonomi di Lawas dan Sarawak amnya.
“Pada masa sama juga, pihak Jabatan Imigresen perlu memastikan aliran kemasukan trafik di pintu sempadan ditambah baik dengan tidak mengabaikan aspek-aspek keselamatan.
“Penyediaan kaunter untuk penduduk tetap Sarawak juga wajar diaktifkan untuk mengurangkan kesesakan dan tempoh berbaris yang terpaksa dihadapi oleh pengembara ini,” katanya sewaktu merasmikan Bazaar Gong Xi Fa Chai 2023 di Gelanggang Arena Lawas, semalam.
Awang Tengah juga mahu aspek kebersihan daerah Lawas diberi perhatian serius termasuk kemudahan tandas awam yang juga mestilah dalam keadaan bersih.
Peranan daerah Lawas sebagai bandar transit akan terus berkembang apabila siapnya lapangan terbang baru Lawas dan juga pelabuhan laut dalam di Pulau Sari yang akan menjadikan Lawas sebagai hab perdagangan di Utara Sarawak.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Sam Laya dan Pemanca Tan Yong Heng.
Oleh ADENG EDRUS