PARIS: Penemuan sebuah bandar berkubu berusia 4,000 tahun yang tersembunyi di sebuah oasis di Arab Saudi mendedahkan bagaimana kehidupan pada masa itu perlahan-lahan berubah daripada nomad kepada kewujudan bandar, kata ahli arkeologi pada Rabu.
Sisa-sisa bandar itu yang digelar al-Natah, lama ‘disembunyikan’ oleh oasis berdinding Khaybar, hijau dan subur dikelilingi padang pasir di barat laut Semenanjung Arab.
Tembok purba sepanjang 14.5 kilometer ditemukan di tapak itu, menurut penyelidikan diketuai oleh ahli arkeologi Perancis, Guillaume Charloux yang diterbitkan awal tahun ini.
Untuk kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal PLOS One, pasukan penyelidik Perancis-Saudi memberikan ‘bukti bahawa benteng ini disusun di sekitar habitat’, Charloux memberitahu AFP.
Pekan besar itu yang menempatkan sehingga 500 penduduk, dibina sekitar 2,400 sebelum masihi semasa awal Zaman Gangsa, kata penyelidik.
Ia ditinggalkan sekitar 1,000 tahun kemudian. “Tiada siapa yang tahu mengapa,” kata Charloux.
Apabila al-Natah dibina, bandar-bandar berkembang pesat di rantau ‘Levant’ iaitu di sepanjang Laut Mediterranean dari Syria sekarang hingga ke Jordan.
Barat Laut Arab pada masa itu dianggap sebagai padang pasir yang tandus, dilintasi oleh pengembara dan dipenuhi dengan tapak pengebumian.
Itu adalah sehingga 15 tahun lalu, apabila ahli arkeologi menemukan benteng sejak Zaman Gangsa di oasis Tayma, utara Khaybar.
“Penemuan penting pertama ini menyebabkan saintis melihat lebih dekat oasis ini.
“Batuan gunung berapi hitam yang dipanggil basalt menyembunyikan dinding al-Natah dengan begitu baik sehingga ia ‘melindungi tapak daripada penggalian haram'”, kata Charloux. – AFP